arena

Lupakan kekalahan kepada PSG - Klopp

Oleh Agensi

MANCHESTER: Jurgen Klopp menegaskan Liverpool tidak perlu menjadikan kekalahan kepada Paris Saint-Germain (PSG) di Liga Juara-Juara, semalam sebagai motivasi menjelang aksi tetangga bertemu Everton, Ahad ini.

Liverpool masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Perdana Inggeris, tetapi kempen mereka di pentas Eropah berada dalam bahaya susulan kekalahan 1-2 kepada juara Perancis itu.

“Ayuh, ia adalah perlawanan tetangga, kami tidak perlu menunjukkan sebarang reaksi,” kata Klopp selepas perlawanan dengan PSG.

“Perlawanan ini adalah terpencil daripada musim ini, ia adalah perlawanan tetangga, ia perlawanan di tempat sendiri.”

Sekalipun Everton tidak pernah menang 17 aksi bertemu Liverpool di Anfield sejak September 1999, skuad dengan jolokan Toffees itu berada di prestasi baik ketika ini dan hanya tewas satu daripada tujuh perlawanan liga untuk menghuni tangga keenam.

Liverpool sekali pun masih belum merekodkan sebarang kekalahan musim ini menghuni tangga kedua liga di belakang pendahulu, yang juga penyandang juara, Manchester City.

“Saya fikir semua pemain tidak sabar menanti perlawanan tetangga sejak permulaan musim ini. Perasaan itu semakin kuat dengan prestasi yang kami harungi bersama sejak beberapa bulan lalu,” kata pemain Everton, Gylfi Sigurdsson.

Selain Liverpool, turut mengharungi perlawanan tetangga pada minggu ini adalah Arsenal yang dijadual menanti kunjungan Tottenham Hotspur di Emirates.

Tottenham ketika ini sedang bersemangat selepas meleburkan deretan tanpa kalah satu lagi seteru London, Chelsea dalam aksi liga minggu lalu, selain membenam Inter Milan untuk menghidupkan kempen mereka dalam kancah Liga Juara-Juara.

Arsenal yang berada di kedudukan keempat liga sedang mengharungi kempen yang mengujakan, selepas meneruskan deretan 18 kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan.

“Saya tahu ia lebih daripada satu perlawanan untuk kedua-dua pasukan dan untuk kedua-dua peminat,” kata penjaga gol Spurs, Hugo Lloris. 

“Kini kami memperoleh masa untuk menjalani pemulihan dan bersedia sebaik mungkin tetapi untuk perlawanan seperti ini kamu perlu bermain dengan lebih semangat dan keinginan.”

Disiarkan pada: November 30, 2018 @ 7:12pm
d