arena

Hadiah Hoilett buat Warnock

LONDON: Penyerang muda, Junior Hoilett menjaringkan gol kemenangan ketika membantu Cardiff City bangkit daripada ketinggalan sebelum menang 2-1 ke atas Wolverhampton Wanderers, di Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Kemenangan itu membolehkan Cardiff keluar daripada kelompok penyingkiran dan melonjak ke kedudukan ke-15 di carta liga dengan meraih 11 mata, selepas mengharungi 14 perlawanan setakat ini.

Namun, mereka masih ketinggalan lima mata di belakang Wolves yang berada di kedudukan ke-11 liga.

Wolves pula terus kecewa selepas mengharungi enam perlawanan tanpa sebarang kemenangan dan kalah enam daripadanya.

Dalam aksi pagi tadi, Hoilett cukup menyerlah dan mempamerkan aksi menyakinkan ketika membantu pasukannya bangkit dan menang buat kali ketiga dalam ‘drama’ yang hampir sama sepanjang musim ini.

“Semua pemain memberikan 100 peratus kepada kelab, peminat dan sesama sendiri,” katanya kepada Sky Sports. “Kami bermula perlahan, tetapi semakin baik di babak kedua. Saya cukup menikmati jaringan itu.

Pemain tengah Iceland, Aron Gunnarsson, yang menjaringkan gol penyamaan berkata; “Memang manis apabila menang di laman sendiri.

“Aksi di babak pertama memang tidak cukup bagus, tetapi di babak kedua, kami bangkit berjuang dan layak untuk mendapat tiga mata,”

Matt Doherty pula meraikan penampilan ke-200 buat Wolves dengan menjaringkan gol pelawat pada minit ke-18, sebelum Gunnarsson menyamakan kedudukan (minit ke-60) dan Hoilett meraikan gol kemenangan 13 minit sebelum tamat perlawanan.

Pengurus Cardiff, Neil Warnock, yang meraikan hari lahir ke-70 hari ini (Sabtu), cukup gembira melihat tindak balas pemainnya selepas ketinggalan.

“Saya katakan kepada pemain, inilah detiknya untuk mereka menghadiahkan saya sesuatu untuk diraikan,” katanya.

“Saya cukup berbangga dengan mereka. Saya rasa, kami tidak sepatutnya tumbang 1-0. Di babak kedua, kami sentiasa di depan lawan pada sepanjang masa,” - Reuters.

Disiarkan pada: December 1, 2018 @ 8:15am
d