arena

Polisi City, Chelsea bakal terjejas

Oleh AFP

MANCHESTER: Pep Guardiola menegaskan, cadangan FIFA untuk mengehadkan jumlah pemain yang boleh dipinjamkan kepada kelab lain akan mengubah sepenuhnya model perniagaan Manchester City.

City dan Chelsea antara pasukan di Liga Perdana Inggeris yang akan berdepan impak paling besar daripada rancangan berkenaan.

Ini kerana, bermula pada tahun 2020, kelab hanya dibenarkan untuk meminjamkan antara lima ke lapan pemain ke kelab lain.

Ketika ini, Chelsea memiliki 39 pemain yang dipinjamkan ke kelab di sekitar Eropah dengan City memiliki 28, lebih satu berbanding Wolves, tetapi hampir dua kali ganda berbanding kelab Inggeris lain.

“Kami perlu mengadaptasi peraturan ini. Peraturan baharu akan datang, kami akan melihat situasi mengenai pemain pinjaman dan melihat apa yang boleh kami lakukan,” kata Guardiola.

“Kelab perlu akur jika FIFA membuat keputusan untuk melakukannya. Jika kami tidak boleh meminjamkan mereka, mereka akan kembali ke sini.

“Jika kami merasakan mereka tidak akan bermain dan jika kami tidak boleh meminjamkan mereka, kami akan menjual mereka. Ia mudah.

“Kami akan melihat kepada pemain yang akan diturunkan untuk beraksi, dan jika ada kemungkinan untuk mereka dipinjamkan, jadi kami tidak akan membeli pemain seperti ini.

Ramai pemain muda City daripada skuad bawah 23 tahun dan akademi ketika ini dipinjamkan ke kelab ‘rakan’ yang menjadi sebahagian daripada Kumpulan Bolasepak City, yang diketuai skuad juara Liga Perdana bimbingan Guardiola.

Guardiola turut menyifatkan polisi baharu itu akan mengehadkan perkembangan pemain muda dengan memberi contoh pemain muda Brazil, Douglas Luiz, yang gagal mendapat permit kerja di England, sebelum dipinjamkan ke kelab La Liga Sepanyol, Girona.

“Bagi saya ia tidak bagus,” kata pengurus dari Sepanyol itu. “Untuk pemain muda yang lahir daripada akademi, langkah mereka seterusnya adalah pasukan utama. 

“Pemain pinjaman berada di dalam liga yang bagus, jadi untuk mereka bermain di sini (bersama skuad akademi), di depan 10 orang (pemain lain) tidak bagus untuk perkembangan mereka.”

Disiarkan pada: December 1, 2018 @ 10:08am
d