arena

Everton tak gentar

Oleh Agensi

LONDON: Pengurus Everton, Marco Silva yakin skuad kendaliannya tidak gentar untuk mengharungi aksi tetangga Merseyside dalam usaha kelab itu menamatkan kemarau tanpa kemenangan selama 19 tahun di Anfield, esok.

Liverpool mendominasi perlawanan di laman sendiri bertemu Everton dalam kancah Liga Perdana Inggeris untuk hampir dua dekad, dan tidak pernah tewas dalam 17 pertemuan kedua-dua pasukan untuk semua kejohanan.

Begitupun, Everton yang menghuni tangga keenam liga ketika ini meningkatkan peluang untuk memecahkan badi itu selepas mencatatkan lima kemenangan dalam tujuh aksi Liga Perdana setakat ini.

“Pemain saya sedar ayat ‘takut’ atau sesuatu seperti itu tidak akan dapat masuk ke bilik persalinan. Langsung tidak,” kata Silva sambil menambah sejarah tidak akan mempengaruhi mental pemainnya.

“Keinginan sentiasa ada. Menikmati tempoh itu juga amat penting. Kami perlu menjadi kuat sepanjang perlawanan untuk bersaing menentang mereka.

“Memenangi perlawanan adalah sesuatu yang kekal dalam minda kami juga, dan tiada perkara lain.”

Mengulas aksi pertama Merseyside sejak mengambil alih Everton, Silva percaya peluang terbaik skuad kendaliannya untuk ‘menghadiahkan’ Liverpool kekalahan pertama dalam aksi liga adalah fokus terhadap mereka sendiri.

“Apa yang saya mahu lihat ialah pasukan kami menjadi diri sendiri,” kata bekas bos Watford itu. “Tiada perbezaan dengan apa yang kami lakukan dalam perlawanan besar dan apa yang sudah kami harungi.

“Inilah yang saya mahu lihat sekali lagi dan saya yakin ia adalah apa yang peminat kami ingin lihat.

“Pasukan kami menjadi diri mereka sendiri, berjuang untuk mencapai keputusan yang bagus dan memenangi perlawanan.”

Disiarkan pada: December 1, 2018 @ 1:45pm
d