arena

Yusoff tak jadi letak jawatan

Oleh Nazri Abu Bakar

MELAKA: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menarik semula hasratnya meletak jawatan sebagai pengurus pasukan Melaka United (MU) bagi musim 2019.

Sebelum ini, Yusoff yang juga Timbalan Presiden, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pernah meluahkan hasrat untuk melepaskan jawatan itu kerana berhadapan masalah dalaman, badan induk bola sepak negeri itu.

Bagaimanapun, keputusan Presiden MUSA, Adly Zahari yang mahukan beliau meneruskan tugas itu menyebabkan hasrat berkenaan dilupakan.

“Kepercayaan presiden amat dihargai, jadi saya akan meneruskan tugas ini dan melupakan sebarang masalah yang timbul.

“Jadi, saya anggap ia sebagai salah faham dan kekeliruan (melepaskan jawatan) sehingga timbul masalah selepas pelantikan EXCO MUSA, baru-baru ini. Namun, selepas mesyuarat MUSA (kelmarin), keadaan sudah pulih,” katanya.

Sehubungan itu, katanya beliau kini akan memfokuskan semula tugasan sebagai pengurus pasukan untuk memastikan kecemerlangan pasukan MU yang dipimpin jurulatih baharu, Zainal Abidin Hassan.

Disiarkan pada: December 1, 2018 @ 1:59pm
d