arena

'Ini bukan gaya Gajah Perang...'

Oleh Aziman Rosdi dan Zulfaizan Mansor

 

KUALA LUMPUR: Jurulatih Thailand, Milovan Rajevac menegaskan anak buah tidak beraksi pada prestasi sebenar ketika terikat tanpa jaringan dengan Malaysia pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Thailand dilihat lebih banyak bertahan pada perlawanan itu sekali gus gagal membawa sebarang bekalan gol tempat lawan.

Beliau menjelaskan segala kelemahan perlu diperbaiki bagi mengharungi aksi penentuan separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala, Bangkok, Rabu ini.

"Ia bukan seperti perancangan awal kami (untuk bermain bertahan). Malaysia beraksi sangat baik dan agresif," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

"Kami beraksi di bawah prestasi sebenar, tapi saya yakin kami akan beraksi lebih baik pada perlawanan seterusnya di Bangkok.

"Ini perlawanan yang sukar, kami mahu menjaringkan gol dan memiliki beberapa peluang. Namun, apa yang penting kami tidak tewas."

Keputusan itu menyaksikan Thailand gagal mencapai sasaran awal Rajevac yang mengharapkan bekalan gol tempat lawan dapat diraih di Bukit Jalil.

Disiarkan pada: December 1, 2018 @ 11:36pm
d