arena

'Kita masih mampu ke final'

Oleh Aziman Rosdi dan Zulfaizan Mansor

KUALA LUMPUR: Kelebihan Thailand beraksi di Stadium Rajamangala tidak seharusnya dijadikan sebagai halangan utama buat Harimau Malaya memusnahkan impian skuad Gajah Perang mempertahankan kejuaraan Piala AFF.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe dilihat bakal menggalas tugas sukar apabila bertandang ke gelanggang keramat Gajah Perang untuk aksi separuh akhir kedua selepas terikat tanpa jaringan pada perlawanan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Harimau Malaya memerlukan sekurang-kurangnya keputusan seri 1-1 pada perlawanan penentuan, Rabu ini untuk melangkah ke final, sekali gus mengulangi pencapaian dalam kejohanan sama empat tahun lalu.

Pemain sayap negara, Mohamadou Sumareh menaruh keyakinan tinggi Harimau Malaya mampu mengejutkan Thailand di Bangkok sekiranya dapat mengekalkan momentum permainan selain memperbaiki kelemahan dalam melakukan penyudah.

“Memang bukan mudah untuk beraksi di Thailand, malangnya kami seri (di gelanggang sendiri). Kami mendapat banyak peluang termasuk saya, tapi tidak berjaya menghasilkan jaringan.

“Nasib masih tidak menyebelahi saya (untuk menjaringkan gol). Kami bermain dengan baik dan saya bangga dengan komitmen tinggi yang diberikan semua pemain,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

“Jika kami mampu bermain sama seperti ini di Thailand gerenti kami boleh menang, itu yang saya fikir. Saya yakin selepas (melihat) perlawanan malam ini dan kalau kami dapat kekalkan segala momentum, kami mampu mara ke final.”

Anak buah Cheng Hoe beraksi dengan baik di Stadium Nasional, namun kegagalan jentera serangan menyudahkan beberapa peluang terhidang menyebabkan Harimau Malaya terlepas peluang membawa bekalan lebih selesa ke Bangkok.

Malaysia dan Thailand pernah bertemu di separuh akhir Piala AFF 2012 yang menyaksikan mereka diikat 1-1 di Bukit Jalil, sebelum Gajah Perang mengesahkan tempat ke final hasil kemenangan 2-0 pada aksi timbal balik di Bangkok.

Mengulas mengenai kecederaan yang memaksanya digantikan oleh Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-64, Sumareh berharap dia akan pulih sebelum aksi di Bangkok nanti.

“Saya cuba meneruskan permainan, tapi ia sukar, saya tidak boleh berlari. Jadi saya perlu keluar dan digantikan dengan pemain yang lebih baik,” katanya.

Disiarkan pada: December 2, 2018 @ 9:23am
d