arena

Alex tekad balas budi

Oleh Asrol Awang

KUANTAN: Bekas pemain kebangsaan, Azamuddin Akil mengesahkan Kedah menjadi pasukan baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2019.

Pemain berusia 33 tahun itu berterima kasih kepada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang sedia menerimanya menyarung jersi skuad Lang Merah.

“Sebaik dimaklumkan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) tidak melanjutkan kontrak, saya membuat keputusan untuk bersama Kedah.

“Saya bersyukur impian tercapai selepas mengadakan perbincangan bersama pengurusan tertinggi KFA, termasuk ketua jurulatih (Aidil Sharin).

“Berbekalkan kepercayaan KFA itu, saya berjanji akan berusaha keras untuk memberikan komitmen tinggi terhadap pasukan Kedah,” katanya.

Bagi memastikan prestasi terbaik dipersembahkan dalam saingan Liga M musim hadapan, Azamuddin atau Alex akan memastikan prestasinya mencapai tahap 100 peratus.

Katanya, musim ini dia tidak dapat mempamerkan komitmen tinggi atas sebab faktor kecederaan.

“Tetapi, saya percaya dengan sokongan daripada rakan sepasukan, saya sedia untuk mengembalikan prestasi terbaik seperti bersama Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT),” katanya.

Disiarkan pada: December 2, 2018 @ 1:22pm
d