arena

Fokus separuh akhir kedua

Oleh Farah Azharie

KUALA LUMPUR: Pertahanan kebangsaan, Aidil Zafuan Abd Radzak menegaskan keputusan seri tanpa jaringan di antara Malaysia dan Thailand pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2018 sudah dilupakan sejurus pengadil meniup wisel penamat di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Aidil yang juga pemain kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) berkata, ini kerana perlawanan tidak lagi sama apabila Harimau Malaya membuat kunjungan ke Bangkok, Thailand bagi aksi timbal balik pada 5 Disember ini.

Katanya, beberapa faktor mungkin menyumbang kepada perubahan permainan di gelanggang lawan terutama dari sudut taktikal.

“Perlawanan malam ini (malam tadi) sudah berakhir. Kami tidak boleh berfikir yang perlawanan akan datang itu sama kerana Thailand mungkin mengubah permainan dan taktikal mereka. Jadi kami perlu berusaha lebih,” katanya.

Pemain berusia 31 tahun itu mengawal kubu Malaysia dengan baik dan sekalipun berlaku sedikit kekeliruan di antaranya dengan Syazwan Andik pada babak pertama, Harimau Malaya berjaya mematahkan lapan cubaan Gajah Perang.

“Di bahagian pertahanan kami melakukan tugas dengan baik dengan tidak melepaskan gol,” katanya.

“Dari sudut serangan, kami memperoleh banyak peluang tetapi tidak memperoleh sebarang jaringan malam ini sekalipun sudah melakukan yang terbaik dan tidak mudah untuk menentang pasukan seperti Thailand.

“Tugas sukar bertemu mereka di tempat lawan Rabu ini tetapi saya tidak mahu berfikir mengenai betapa sukar ia akan jadi kerana jika sudah ditakdirkan, Malaysia pasti menang.”

Justeru, pertahanan veteran negara itu juga menggesa rakan sepasukannya supaya lebih santai dan bertenang kerana tumpuan mereka bagi aksi seterusnya adalah memastikan tempat ke final.

Disiarkan pada: December 2, 2018 @ 1:26pm
d