arena

Harimau Malaya mampu ke final

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

SEPANG: Skuad Harimau Malaya masih berpeluang layak ke final Piala AFF Suzuki 2018 sekiranya mereka berjaya mengekalkan momentum dan corak permainan seperti ditunjukkan ketika seri 0-0 dalam perlawanan separuh akhir pertama berdepan Thailand, malam tadi.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menzahirkan keyakinannya terhadap pasukan negara selepas melihat prestasi cemerlang dipamerkan anak buah Tan Cheng Hoe pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Menurut Syed Saddiq, corak permainan Malaysia dalam pertembungan itu wajar dipuji walaupun perlawanan berkenaan berkesudahan seri tanpa jaringan.

"Kita mempunyai banyak peluang melalui Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) dan Sumareh (Mohamadou Sumareh) namun, gagal diterjemahkan. Jika corak permainan semalam dikekalkan, kita mampu ke perlawanan akhir.  

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada lebih 87,000 penyokong yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, sorakan mereka mengegarkan stadium dan membantu meningkatkan semangat pemain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyambut ketibaan kontinjen Malaysia yang menyertai WorldSkills Asia (WSA) 2018 Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Keputusan seri tanpa jaringan itu menyaksikan Malaysia yang dibimbing  ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe berdepan misi sukar pada aksi kedua yang akan berlangsung di Stadium Nasional Rajamangala, Thailand pada 5 Disember ini.

Sementara itu, mengulas mengenai pencapaian kontinjen negara di WSA 2018, Syed Saddiq berkata, kontinjen negara yang diwakili 12 peserta mengharumkan nama Malaysia apabila membawa pulang tiga pingat emas dan tiga  perak.

"Pencapaian ini membuktikan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berada di tahap terbaik. Saya berharap Malaysia akan mendapat keputusan yang lebih baik dalam WorldSkills Competition (WSC) 2019 di Kazan, Russia nanti," katanya.

Disiarkan pada: December 2, 2018 @ 6:08pm
d