arena

Era Ronaldo, Messi berakhir?

Oleh AFP

PARIS: Pemenang anugerah berprestij Ballon d’Or 2018 akan diketahui di sini awal pagi esok dengan bintang Croatia, Luka Modric dan penganjur yang juga juara dunia 2018, Perancis berharap dominasi selama 10 tahun oleh Cristiano Ronaldo serta Lionel Messi akan berakhir.

Ronaldo dan Messi mendominasi anugerah berkenaan sejak sedekad lalu dengan masing-masing memenangi lima gelaran tetapi jangkaan nama baharu akan terpahat sebagai pemenang meningkat dalam majlis yang berlangsung di Grand Palais, Champs-Elysees kira-kira 3 pagi esok.

Ketika Ronaldo memenangi satu lagi gelaran Liga Juara-Juara bersama Real Madrid dan Messi terus ‘menghiburkan’ Barcelona, kedua-duanya sudah memasuki usia 30-an dan gagal mencetus impak di Piala Dunia.

Ia pasti menjadi elemen penting dengan Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) Gianni Infantino berkata: “Kamu mungkin perlu memberikan Ballon d’Or kepada separuh pasukan Perancis atas apa yang mereka lakukan di Piala Dunia.”

Enam pemain daripada skuad Perancis yang menjulang gelaran di Russia tersenarai dalam 30 pencalonan bagi anugerah berkenaan yang dianjurkan majalah Perancis, France Football menerusi undian 180 wartawan di seluruh dunia.

Antara tersenarai ialah bintang muda sensasi Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe, penyerang Atletico Madrid, Antoine Griezmann dan pertahanan Real, Raphael Varane.

Penjaga gol Tottenham, Hugo Lloris, bintang tengah Manchester United, Paul Pogba dan perancang Chelsea, N’Golo Kante turut tersenarai dengan pemain Perancis terakhir memenangi Ballon d’Or adalah Zinedine Zidane pada 1998 ketika Les Blues memenangi Piala Dunia pada tahun yang sama.

Begitupun, ketiadaan pemain Perancis yang memiliki profil sebagai Modric yang menjadi wira pasukannya melangkah ke final Piala Dunia 2018 sebelum tewas tampak seakan membuka jalan buat pemain kreatif berkenaan.

Pemain berusia 33 tahun itu juga beraksi cemerlang membantu Real mengekalkan trofi Liga Juara-Juara musim lalu tetapi meskipun pengaruhnya kuat, statistik Modric masih jauh di belakang Ronaldo dan Messi.

Tetapi, deretan kejayaan diperolehnya baru-baru ini termasuk dinobat pemenang anugerah Bola Emas untuk pemain terbaik di Piala Dunia, Pemain Terbaik Eropah, Pemain Terbaik Dunia FIFA membuktikan potensinya untuk menang awal pagi esok cukup besar.

“Modric pemain yang menakjubkan. Dia sudah membuktikannya sepanjang kariernya, bukan saja di Real tetapi bersama bekas kelabnya dan juga negaranya,” kata bos Real, Santiago Solari.

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps ketika diminta mengulas mengenai potensi pemenang anugerah berkenaan berkata: “Saya tidak mahu menyertai debat ini. Saya tidak mengundi. Saya hanya berharap ia pemain Perancis. Tetapi sesiapa saja yang menang ia layak,” katanya.

Disiarkan pada: December 3, 2018 @ 11:47am
d