arena

Waspada ancaman Thailand

Oleh Aziman Rosdi

KUALA LUMPUR: Pemain tengah Harimau Malaya Syamer Kutty Abba mengingatkan rakan sepasukan supaya berwaspada dengan ancaman Thailand bagi aksi separuh akhir kedua Piala AFF di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok, Rabu ini.

Berdasarkan persembahan dipamerkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe ketika seri 0-0 pada pertemuan pertama di Bukit Jalil, Sabtu lalu, Malaysia berpeluang untuk melakukan kejutan ke atas juara bertahan Thailand bagi merebut tiket ke final.

Tapi Syamer percaya, skuad Gajah Perang itu mungkin akan mempamerkan kemampuan sebenar apabila beraksi di gelanggang keramat mereka.

“Kita menguasai permainan dengan baik pada perlawanan pertama, mencipta banyak peluang cuma kita gagal menyempurnakan peluang itu dan ia pasti perlawanan sukar di Bangkok.

“Kita akan tetap dengan  cara permainan sama, tapi kita kena berhati-hati, kita tidak tahu apa yang akan kita tempuhi di sana. Saya percaya kita boleh lakukan dan Insya Allah boleh mendapat keputusan baik,” katanya.

Syamer, 21, menjawab segala kritikan dengan mempamerkan aksi lebih baik menentang Thailand sehingga dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan itu.

Pemain muda Johor Darul Ta’zim (JDT) itu membentuk kombinasi baik di bahagian tengah bersama Akram Mahinan dalam menyekat kemaraan Thailand dan turut membantu dalam melancarkan serangan pasukan negara.

Dengan format gol di tempat lawan, Malaysia, juara 2010 boleh melangkah ke final buat kali keempat sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri 1-1.

Tapi Thailand memiliki rekod baik di laman sendiri termasuk ledakan 15 gol sepanjang kempen AFF 2018 yang pasti memberikan kelebihan psikologi buat musuh Harimau Malaya itu.

“Kita tak lepaskan gol, itu kelebihan kita jika kita dapat jaringkan gol di sana, ia pasti menyukarkan mereka dan kita perlu ambil setiap peluang yang ada,” jelas Syamer.

 

Disiarkan pada: December 3, 2018 @ 12:36pm
d