arena

Gunners perlu kekal konsisten

Oleh Reuters

LONDON: Arsenal mempamerkan aksi cemerlang di bawah bimbingan Unai Emery selepas menang ke atas Tottenham Hotspur, namun pengendali dari Sepanyol itu berkata, anak buahya perlu sekali lagi mempamer aksi konsisten apabila berkunjung ke Manchester United awal pagi Khamis.

Arsenal menewaskan Spurs 4-2 di halaman sendiri sekali gus mengatasi seteru utama Utara London itu di tangga keempat dengan hanya perbezaan jaringan, namun Emery percaya aksi konsisten di tempat lawan cukup penting.

“Jika kami beraksi baik ketika ini, kami perlu teruskannya pada Khamis ini. Ia adalah perlawanan dan cabaran yang sangat berbeza.

“Kami perlu teruskan aksi konsisten apabila beraksi di tempat lawan. Kami tahu bahawa kami perlu melakukan perubahan untuk lebih kompetitif.

“Saya rasa pasukan sedang melakukannya tetapi apabila bertemu Manchester United di tempat lawan, cabarannya lebih besar berbanding perlawanan lain.

“Saya pasti ia perlawanan yang menarik. Persiapan untuk perlawanan ini juga memberi motivasi kepada kami,” katanya.

United di bawah bimbingan Jose Mourinho bergelut di tangga ketujuh dengan 22 mata selepas 14 perlawanan.

Kemenangan Arsenal ke atas Spurs melebarkan rekod tanpa kalah di semua pertandingan kepada 19 perlawanan dan peminat mula mempercayai kelab kesayangan mereka itu mampu menjulang trofi liga sejak kali terakhir dimenangi pada musim 2003-2004 di bawah bimbingan Arsene Wenger.

“Liga Perdana adalah keutamaan kami tetapi Liga Europa juga menarik dan begitu juga dengan Piala Liga dan FA,” kata Emery.  

 

Disiarkan pada: December 4, 2018 @ 7:46am
d