arena

Sane akan kekal

Oleh AFP

MANCHESTER: Pep Guardiola yakin pemain sayapnya, Leroy Sane akan menandatangani kontrak jangka panjang baharu bersama Manchester City sekali pun timbul penangguhan membabitkan kedua-dua pihak ketika ini.

Pemain berusia 22 tahun itu bangkit daripada musim panas yang mengecewakan apabila tidak disenarai Jerman bagi kempen Piala Dunia sebelum kembali ke England yang menyaksikan dia kehilangan posisi dalam kesebelasan utama Guardiola.

Sane hanya tujuh kali disenarai dalam kesebelasan utama dalam 14 perlawanan liga City musim ini tetapi empat gol yang disumbangkan daripada lima perlawanan terakhir liga membuktikan dia sudah mengembalikan semula prestasi baiknya sejak dua musim lalu.

Justeru sekali pun masih belum menyertai senarai bintang senior seperti Sergio Aguero, David Silva, Kevin De Bruyne, Raheem Sterling, Ederson, Gabriel Jesus dan Nicolas Otamendi menandatangani kontrak baharu bersama kelab itu, Guardiola yakin ia akan berlaku.

“Saya tidak mempunyai begitu banyak maklumat mengenai kelab, mengenai masalah membabitkan Leroy,” kata pengurus City itu.

‘Maklumat terakhir diperoleh ialah ia berjalan dengan baik tetapi prosesnya tidak memakan masa sehari, Raheem Sterling seperti itu juga. Kecuali Kevin De Bruyne, ia hanya memerlukan satu atau dua hari dan kadang kala ia mengambil masa lebih lama tetapi saya berharap dia dapat kekal di sini untuk tempoh beberapa tahun lagi.”

Tugas Sane di City pada musim ini semakin rumit selepas kelab itu melakukan pembelian memecah rekod AS$76 juta (RM316.58 juta) dengan membawa masuk pemain sayap Leicester , Riyad Mahrez ke Etihad.

Gandingan itu bersaing secara efektif untuk mendapatkan tempat di posisi sayap kiri Guardiola dengan Mahrez hanya kurang satu penampilan dalam kesebelasan utama berbanding Sane tetapi bermain lebih satu perlawanan jika kemasukan selaku pemain gantian diambil kira.

Begitupun jelas Sane, yang menjadi bapa buat pertama kali tahun ini bertekad untuk membuktikan kemampuannya dengan meningkatkan prestasinya bagi pendahulu Liga Perdana itu.

Disiarkan pada: December 4, 2018 @ 7:54am
d