arena

Milik inspirasi Napoli

Oleh AFP

MILAN: Penyerang Poland, Arkadiusz Milik keluar daripada bangku simpanan untuk meledak gol bagi membantu Napoli menewaskan Atalanta 2-1 awal pagi tadi sekali gus merapatkan jurang kepada lapan mata dengan pendahulu Serie A, Juventus.

Milik menjaringkan gol kemenangan lima minit sebelum permainan berakhir dengan Napoli mendahului menerusi Fabian Ruiz seawal minit kedua pada aksi di gelanggang Atalanta, Bergamo.

Begitupun, bekas pemain Napoli, Duvan Zapata kembali menyamakan kedudukan buat tuan rumah 11 minit selepas rehat sebelum mereka dikecewakan dengan jaringan Milik.

Napoli kembali merapatkan jurang dengan Juventus yang sebelum itu memperoleh kelebihan 11 mata di puncak susulan kemenangan 3-0 ke atas Fiorentina, Sabtu lalu yang menyaksikan Cristiano Ronaldo menyumbat gol ke-10 miliknya dalam 14 aksi liga.

“Ia benar-benar gol yang penting untuk kami,” kata jurulatih Napoli, Carlo Ancelotti. “Milik menempuh masa yang sukar kerana dia tidak bermain secara konsisten, tetapi kekal bermotivasi dan fokus, jadi dia layak memperolehnya.”

Skuad kendalian Ancelotti beraksi bermati-matian pada perlawanan itu selepas pemburuan kejuaraan mereka terencat susulan keputusan seri tanpa jaringan menentang kelab tercorot, Chievo dua minggu lalu.

Justeru, jurulatih veteran Itali itu membuat keputusan untuk menyenaraikan kesebelasan utama ketika Napoli menewaskan Red Star Belgrade 3-1 dalam kancah Liga Juara-Juara, pertengahan minggu lalu.

Sementara itu, Milik berkata kemenangan memberinya keyakinan menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang Liverpool di Anfield, minggu depan.

“Sebelum Liga Juara-Juara, kami mempunyai satu lagi perlawanan sukar Serie A menentang Frosinone. Sudah tentu kami mahu menewaskan Liverpool, yang kami tahu tidak akan mudah tetapi kami mempercayai diri kami.”

Disiarkan pada: December 4, 2018 @ 8:10am
d