arena

Tarpischev yakin kemampuan Maria

Oleh Agensi

LONDON: Presiden Persekutuan Tenis Russia, Shamil Tarpischev yakin terhadap kemampuan Maria Sharapova untuk kembali menyinar dalam sukan itu.

Pada tahun ini, pemenang lima kali Grand Slam itu berdepan beberapa kecederaan tetapi Tarpischev yakin pemain itu boleh muncul sebagai pemain nombor satu dunia sekali lagi.

“Dalam tenis wanita dunia kini, masih tidak jelas siapa pendahulu yang muktamad dan semua pemain dalam kelompok 12 terbaik boleh memenangi sebarang kejohanan,” kata Tarpischev.

“Jika Maria gigih berusaha pantas, dia akan berada di kelompok 10 terbaik sekali lagi pada tahun hadapan.

“Dia akan menjadi pemain nombor satu kerana kini tiada pendahulu yang jelas. Beliau berulang kali berkata yang beliau mahu bermain di Olimpik sekali lagi.

“Jadi keputusannya untuk mengakhiri tahun ini dengan segera dan menjalani persediaan yang lebih panjang adalah tepat. Kerana dengan umur, kemungkinan latihan adalah keutamaannya,” katanya.

Tarpischev juga yakin dengan peluang Maria untuk memenangi pingat emas di Tokyo 2020 yang juga menjadi penampilan pertamanya di Sukan Olimpik sejak London 2012.

Pada Sukan Olimpik 2016 Rio, Maria tidak bermain berikutan digantung disebabkan isu doping.

“Ya, sudah tentu kami gembira untuk melihat Maria mahu bermain di Olimpik Tokyo kerana dalam beberapa perlawanan, meski kecederaan, dia mempamer tahap pemain yang berada di kedudukan lima terbaik.”

Maria akan memulakan kempen 2019 dengan beraksi di Shenzen.  

Disiarkan pada: December 4, 2018 @ 10:28am
d