arena

Hasenhuettl calon pilihan

Oleh Reuters

LONDON: Bekas jurulatih RB Leipzig, Ralph Hasenhuettl menjadi calon pilihan mengisi tempat Mark Hughes di Southampton selepas pasukan yang masih bergelut di Liga Perdana itu menyingkirkan pengurus mereka itu semalam.

Beberapa media di Austria dan Jerman kemudian melaporkan Hasenhuettl secara prinsipnya sudah mencapai persetujuan bersama kelab itu dan akan diperkenalkan dalam beberapa hari lagi.

Akhbar Austria, Kleine Zeitung berkata kontrak itu sudah ditandatangani.

Bagaimanapun, satu sumber mengatakan perjanjian kontrak baru bagi pengurus baru masih belum diselesaikan tetapi kelab itu masih menguruskannya dan diharap dapat menyelesaikannya sebelum berakhirnya minggu ini.

Kelab itu masih belum mengeluarkan kenyataan tentang perkembangan The Saints dalam mencari pengganti Hughes apabila dihubungi Reuters, selain mengatakan pencarian pengurus baru sedang dijalankan.

Pemergian Hughes daripada kelab itu melegakan bagi kebanyakan penyokong Southampton yang kecewa terhadap kemampuan pengurus berumur 55 tahun itu untuk membimbing skuad berbakat itu.

“Sudah masanya,” kata seorang peminat mengulas mengenai berita itu di laman web akhbar Daily Echo. “Syukur kepada Tuhan..syukur Tuhan,” kata seorang lagi peminat.

Hughes membantu menyelamatkan Saints daripada tersingkir musim lalu dengan menamatkan saingan di kedudukan 17 liga tetapi musim ini menyaksikan pasukan itu di kedudukan 18 dengan tewas tujuh daripada 14 perlawanan mereka.

 

Disiarkan pada: December 4, 2018 @ 12:06pm
d