arena

Icardi Pemain Terbaik Serie A

Oleh AFP

MILAN: Penyerang Inter Milan, Mauro Icardi memenangi anugerah Pemain Terbaik Serie A pada majlis yang berlangsung di Gran Gala del Calcio di sini, malam tadi.

Penyerang Argentina berusia 25 tahun itu menjadi pemain pertama bukan dari Juventus memenangi anugerah daripada Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Itali itu sejak legenda AC Milan, Zlatan Ibrahimovic melakukannya pada 2011.

Icardi berkongsi kedudukan selaku penjaring terbanyak Serie A musim lalu bersama penyerang Lazio, Ciro Immobile dengan menyumbat 29 gol.

Selain anugerah utama, kapten Inter itu turut memenangi anugerah Gol Terbaik berikutan jaringannya ketika menewaskan Sampdoria Mac tahun lalu.

Begitupun, Icardi tidak bersetuju dengan pemilihan berkenaan dengan menegaskan gol yang dijaringkan ketika menentang AC Milan lebih cantik.

Juara Itali, Juventus diundi sebagai pasukan terbaik dengan jurulatihnya, Massimiliano Allegri memenangi anugerah Jurulatih Terbaik selepas membawa kelab gergasi itu memenangi gelaran keempat berturut-turut Serie A dan Piala Liga.

“Ia kumpulan pemain yang hebat, dengan kelab yang hebat di belakang kami,” kata Allegri yang memenangi anugerah berkenaan sebanyak empat kali. 

“Saya bertuah dapat bekerja dengan begitu ramai pemain- menakjubkan dan malam ini saya dapat melihat legenda Andrea Pirlo juga.”

Skuad kendalian Allegri berada di landasan untuk memenangi gelaran kelapan berturut-turut Serie A dengan pengendali dari Itali itu memuji impak yang dibawa pemenang lima kali Ballon d'Or,  Cristiano Ronaldo ke kelab itu.

Begitupun, bintang Portugal itu sekadar menjadi naib juara bagi edisi Ballon d'Or kali ini yang dimenangi bekas rakan sepasukannya di Real Madrid, Luka Modric.

Pertahanan Fiorentina, Alia Guagni memenangi anugerah Pemain Terbaik bagi kategori wanita manakala legenda Roma Francesco Totti dan Pirlo masing-masing menerima Anugerah Sepanjang Zaman.

Disiarkan pada: December 4, 2018 @ 12:14pm
d