arena

Dua minggu lagi

Oleh Ferzalfie Fauzi

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei dijangka kembali turun ke gelanggang untuk memulakan latihan dalam tempoh dua minggu lagi dan perkara itu disahkan sendiri Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan & Latihan (C&T) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai.

Menurutnya, Chong Wei ada berjumpa jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan semalam dan mengakui sudah bersedia untuk melakukan latihan di gelanggang.

“Bagaimanapun, buat masa sekarang dia masih belum bersedia, mungkin dalam tempoh dua minggu lagi,” kata Chin Chai selepas Majlis Penyerahan Bas Tajaan Bank Rakyat hari ini.

Pada 22 September lalu, badan induk itu mengesahkan Chong Wei mengidap kanser hidung peringkat awal dan selepas menjalani rawatan di Taiwan dia pulang ke tanah air 7 Oktober lalu sebelum menyambung proses pemulihan.

Sementara itu, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, beliau ada bercakap dengan Chong Wei dalam dua atau tiga hari lalu untuk bertanyakan khabar.

“Dia memberitahu semua berada dalam keadaan baik dan sekarang ini sedang melakukan latihan fizikal. Dia juga mengakui ada menjenguk pemain lain melakukan latihan.

“Itu saja perkembangan mengenainya buat masa ini. Biar proses pemulihan diteruskan seperti dinasihatkan doktor. Jika dilihat kepada kekuatan, saya yakin dia akan bersedia apabila bermulanya kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti,” kata Norza.

Dalam pada itu Norza berpuas hati dengan prestasi dipamerkan seorang lagi pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia selepas berjaya mara ke saingan akhir Korea Masters hujung minggu lalu.

“Seperti mana kita tahu kelayakan Olimpik bakal bermula 1 Mei depan, jadi kita mahu mempunyai dua atau tiga wakil bagi setiap bahagian. Zii Jia salah seorang dari mereka untuk perseorangan lelaki, di samping Chong Wei dan satu lagi pemain untuk bahagian berkenaan.

“Saya ada berbincang dengan Misbun (Datuk Misbun Sidek) mengenai reviu selepas Korea Masters, nampaknya masih ada jurang di antara Zii Jia dan Son Wan Ho. Kita perlu melihat perkara ini secara teknikal. Bagaimanapun, pada pendapat saya dia berada di landasan tepat ke Olimpik,” katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2018 @ 1:11pm
d