arena

'MSN bebas penyelewengan'

Oleh Fadhli Ishak

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail memberi jaminan badan induk itu bebas daripada sebarang penyelewengan, susulan penemuan yang dilaporkan dalam Laporan Audit Negara 2017 Siri 2 yang dikeluarkan, semalam.

Shapawi berkata, MSN sudah memberi maklum balas terhadap semua isu yang diketengahkan kepada Jabatan Audit Negara.

"Perkara yang diketengahkan adalah disebabkan isu berterusan mengenai sistem perakaunan, serta lembaga pengurus (pengurus lembaga) yang tidak dilantik kerana tahun ini adalah tahun pilihanraya," kata Shapawi ketika dihubungi hari ini.

"Pada akhirnya, semua wang dibelanjakan dengan sewajarnya. Saya memberi jaminan kepada semua bahawa tidak ada unsur penyelewengan. Sebaliknya, ia lebih kepada prosedur dan amalan perakauan.

"Apabila penemuan itu dikeluarkan awal tahun ini, kami segera memperbetulkannya seperti yang diminta dan membentangkannya kepada Jabatan Audit Negara.

"Kami sedar dengan kelemahan kami dan melakukan yang terbaik bagi mengatasinya," kata Shapawi.

Shapawi berkata demikian bagi mengulas tiga perkara yang diketengahkan dalam laporan semalam, iaitu mengenai geran pembangunan berjumlah RM30.43 juta dipindahkan kepada geran pengurusan tanpa kelulusan.

Perkara kedua ialah penyata kewangan MSN yang memerlukan pelarasan RM8.63 juta yang tidak dapat dibuat, kerana lembaga baru yang belum dilantik dan perkara ketiga ialah, MSN menerima teguran untuk tahun ketiga berturut-turut.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas dengan mendalam mengenai baki bayaran yang belum dijelaskan (RM148.67 juta) bagi penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, kerana perkara itu akan dijawab oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Menurutnya, ia lebih kepada masalah teknikal seperti tarikh akhir transaksi dan akaun MSN hanya digunakan untuk memproses pendapatan dan perbelanjaan Sukan SEA KL.

Disiarkan pada: December 4, 2018 @ 7:41pm
d