arena

Liverpool 'rehatkan' Mane

Oleh Reuters

LIVERPOOL: Penyerang Liverpool, Sadio Mane belum pasti dapat diturunkan pada pertemuan dengan Burnley dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi Khamis ini, kata pengurus, Jurgen Klopp.

Pemain antarabangsa Senegal itu mengalami kecederaan yang memaksanya menerima beberapa jahitan ketika aksi menentang Everton, tetapi Klopp enggan menolak sepenuhnya peluang pemain berusia 26 itu untuk beraksi.

"Sadio menerima beberapa jahitan di kakinya. Dia OK, tetapi berjalan dalam kesakitan.

"Buat masa sekarang dia belum bersedia untuk diturunkan, tetapi kami akan menilai semula situasinya sebelum perlawanan," kata Klopp.

Liverpool juga berkemungkinan besar kehilangan khidmat tonggak pertahanan, Andy Robertson yang mengalami kecederaan kaki.

"Kecederaan Robo tidak serius seperti Sadio, tetapi kami perlu memantau perkembangannya," kata Klopp.

Klopp juga mengesahkan beliau menerima hukuman Persatuan Bola Sepak England, susulan tindakan keterlaluan ketika meraikan jaringan Divock Origi dalam pertembungan tetangga berdepan Everton, di Anfield.

Pengurus dari Jerman itu diberi tempoh sehingga Khamis ini bagi mengemukakan rayuan, tetapi beliau menegaskan akan membayar denda yang dikenakan.

Disiarkan pada: December 4, 2018 @ 11:52pm
d