arena

City terus dominasi EPL

Oleh  AFP

LONDON: Manchester City mengukuhkan kedudukan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kelebihan lima mata selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Watford, awal pagi tadi.

Tuan rumah berjaya menghalang City daripada mencipta jaringan hampir sepanjang babak pertama tetapi akhirnya Leroy Sane berjaya menemui ruang pada minit ke-40 untuk meletakkan City di depan 1-0.

Riyad Mahrez menambah gol kedua minit ke-51 dengan merembat deras menerusi kaki kirinya.

City menerima ancaman di hujung perlawanan selepas Abdoulaye Doucoure merapatkan jurang minit ke-85.

Watford yang belum pernah mencatat kemenangan sejak Oktober lalu, cuba untuk mencari gol penyamaan namun akhirnya mereka kekal melakar kekalahan buat kali ketiga berturut-turut.

“Anda tidak boleh berasa selesa di Liga Perdana. Apabila anda mendahului 2-0, ia sebenarnya belum berakhir dengan pemain perlu cuba untuk mencari gol ketiga,” kata pengurus City, Pep Guardiola.

“Apapun kami tampil dengan lebih baik dan berhak menang. Tapi pemain seharusnya mematikan terus kebangkitan lawan pada lima minit terakhir.

 “Untuk baki lima minit terakhir itu, Watford nyata lebih baik berbanding kami.

“Kemenangan terbaru ini bukan bertujuan untuk memecahkan rekod. Anda tidak boleh mencatat kemenangan dengan mudah untuk sepanjang 38 perlawanan,” katanya.

City masih belum tewas pada saingan liga musim ini dengan selesa mengumpul 41 mata mengatasi Liverpool di tangga kedua. – AFP

Disiarkan pada: December 5, 2018 @ 8:03am
d