arena

Suarez makin pulih

Oleh AFP

MADRID: Ernesto Valverde optimis Luis Suarez akan cergas sepenuhnya untuk pertemuan dengan Espanyol pada Sabtu ini, tiga hari sebelum Barcelona bertemu Tottenham di saingan Liga Juara-Juara.

Suarez mengalami kecederaan lutut sejak Barcelona seri ketika bertemu Atletico Madrid pada 24 November lalu tetapi bintang Uruguay itu kemungkinan boleh diturunkan pada aksi ‘derby’ dua kelab Catalan itu.

Barcelona kemudian akan menanti kunjungan Spurs pada saingan perlawanan terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara tetapi dengan anak buah Valverde sudah pun layak selepas menduduki tangga teratas Kumpulan B, Suarez kemungkinan akan terus direhatkan.

“Kami sangat optimistik untuk pertemuan dengan Espanyol,” kata jurulatih Barcelona, Valverde menjelang pertemuan dengan Cultural Leonesa aksi timbal balik saingan Copa del Rey.

“Kami berharap Sabtu ini Suarez dapat diturunkan,” katanya lagi.

Sementara itu, Valverde enggan mengulas keputusan anugerah Ballon d’Or yang menyaksikan Luka Modric dinobatkan sebagai pemenangan menewaskan bintang Barcelona, Lionel Messi.

“Saya tak mahu mengulas sama ada ia keputusan yang betul atau salah. Saya bukanlah orang yang wajar menerangkan mengenai perkara itu.

“Apapun kami ucapkan tahniah kepada Modric kerana dia adalah seorang pemain yang hebat,” katanya. – AFP

 

Disiarkan pada: December 5, 2018 @ 9:18am
d