arena

'Menang, kalah belakang kira' [METROTV]

Oleh Syafiq Aznan

SEPANG: “Menang atau kalah belakang kira, asalkan skuad negara memperagakan persembahan bertenaga,” kata penyokong tegar Harimau Malaya, Shahrul Izwan Abdul Kahar.

Auditor swasta berusia 30 tahun itu antara kelompok penyokong skuad Harimau Malaya yang terbang ke Bangkok bagi perlawanan separuh akhir Piala AFF 2018 bertemu Thailand di Stadium Rajamangala, malam ini.

Lebih manis, Shahrul menyaksikan perlawanan penentuan terbabit bersama dua rakan karibnya iaitu Sallehuddin Mohd Rabani dan Mohd Faizal Amrie Amir Shahfuddin.

Katanya, beliau teruja dengan perlawanan penuh mendebarkan itu terutamanya selepas aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil yang berkesudahan tanpa jaringan, Sabtu lalu.

“Skuad kali ini memperagakan banyak peningkatan dan dengan persembahan pada minggu lalu, saya melihat Harimau Malaya memiliki kekuatan tersendiri untuk menumbangkan juara bertahan itu malam ini.

“Apapun, sokongan penuh akan tetap diberikan dan sekiranya keputusan tidak berpihak kepada Malaysia, saya tetap menjulang pemain negara sebagai wira,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Penerbangan Khas Ultras Malaya bersama AirAsia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), hari ini.

Sementara itu, Salehuddin, 35, mencuri tumpuan apabila akan mengenakan tengkolok apabila menyaksikan perlawanan itu, malam ini.

“Ini kali ketiga saya mengenakan tengkolok selepas perlawanan bertemu Myanmar dan Thailand sebelum ini.

“Pada saya, tiada apa yang pelik apabila saya memakai tengkolok ketika menyaksikan perlawanan bola sepak. Ia boleh dianggap sebagai simbolik kepada kepahlawanan dan semoga itu dapat diterjemah kepada semangat tidak menyerah kalah buat skuad negara,” katanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Disiarkan pada: December 5, 2018 @ 12:01pm
d