arena

Naim mahu 'kunci Gajah' dalam diam

Oleh Daripada Aziman Rosdi di Bangkok

PEMAIN pertahanan Harimau Malaya, Nazirul Naim Che Hashim percaya dirinya sudah bersedia untuk mengambil posisi Syazwan Andik pada aksi getir separuh akhir kedua Piala AFF menentang Thailand malam ini.

Kedudukan Syazwan masih belum pasti untuk berada dalam kesebelasan utama bagi perlawanan di Stadium Nasional Rajamangala berikutan kecederaan hamstring yang dialami pada pertemuan pertama di Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Namun selepas beberapa hari berehat, bek kiri itu kembali menjalani latihan semalam tapi tahap kecergasannya masih diragui.

Bagi Nazirul Naim yang masuk menggantikan Syazwan pada separuh masa kedua ketika Malaysia seri 0-0 dengan skuad Gajah Perang pada aksi pertama, dia bersedia diturunkan andai diberi peluang.

“Saya perlu bersedia walaupun sesiapa yang diturunkan antara saya atau Syazwan,” katanya.

“Walaupun kita akan bertemu Thailand dan saya tak main empat perlawanan awal, bagi saya ini peluang terbaik untuk saya buktikan sesuatu bahawa saya juga layak berada dalam pasukan ini.

Bertemu Thailand tanpa bekalan gol di Bangkok dilihat cabaran besar buat anak buah Tan Cheng Hoe untuk memburu tempat ke final kali keempat apatah lagi Malaysia tidak pernah meraih kemenangan ke atas juara bertahan itu sejak 2004.

Nazirul Naim mengakui benteng pertahanan negara perlu bekerja keras untuk mengekang jentera serangan Thailand yang sudah meledak 14 gol di laman sendiri dalam kempen AFF kali ini.

“Bagi saya, kita juga ada kelebihan, kita tahu kalau kita mendapatkan satu gol, mereka memerlukan dua gol, jadi apa yang kami perlu lakukan adalah untuk kekalkan corak permainan di Bukit Jalil sebelum ini dan InsyaAllah kami akan cuba sedaya upaya bagi mendapatkan gol.

“Selagi kita menguasai bola dengan lebih banyak tidak ada masalah kita di bahagian pertahanan, lagi banyak kita pegang bola lagi sukar untuk mereka bermain,” kata pemain Perak itu.

Disiarkan pada: December 5, 2018 @ 12:06pm
d