arena

Harimau Malaya perlu kekal fokus

Oleh BERNAMA

PEMAIN skuad Harimau Malaya diingatkan terus fokus dan memberi persembahan terbaik pada dua aksi final Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2018.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, perjuangan skuad negara masih belum selesai kerana mereka perlu menempuh satu lagi halangan sebelum meraih kejuaraan buat kali kedua selepas edisi 2010.

Hamidin berkata demikian menerusi entri terbaharu dalam laman Facebook FAM Official.

Perlawanan akhir akan menggunakan format timbal balik dengan final pertama berlangsung pada 11 Disember, manakala aksi timbal balik 15 Disember ini.

Pada masa sama, Hamidin turut berterima kasih kepada semua penyokong skuad negara terutama penyokong tegar Ultras Malaya yang hadir ke Stadium Nasional Rajamangala di Bangkok, malam ini.

Malaysia layak ke final walaupun seri 2-2 menentang juara bertahan, Thailand pada aksi separuh akhir kedua di Bangkok.

Keputusan itu sudah mencukupi untuk skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe layak ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, 1 Disember lalu.

Menanti Malaysia di final adalah pemenang satu lagi perlawanan separuh akhir antara Vietnam dan Filipina.

Disiarkan pada: December 5, 2018 @ 11:26pm
d