arena

Tahniah buat Harimau Malaya

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

KEJAYAAN Malaysia mengikat Thailand 2-2 dalam perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala, Bangkok, semalam sekali gus mara ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 dirai seluruh negara.

Malah, golongan ternama turut mengucapkan tahniah kepada skuad Harimau Malaya yang dikongsi di media sosial masing-masing.

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim antara terawal mengucapkan tahniah kepada pasukan negara yang layak ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018, di laman sosial Twitter baginda.

“Congratulations to the National Team for making the finals of AFF Suzuki Cup,” memetik Twitter baginda.

Manakala, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak ketinggalan mengucapkan tahniah di laman Twitter dan Instagram (IG) beliau.

“Setinggi tahniah kepada pasukan #HarimauMalaya berjaya mara ke pentas akhir AFF Suzuki,” katanya.

Sementara, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bukan saja mengucapkan tahniah kepada pasukan negara, tetapi turut menyeru seluruh rakyat membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil di IG beliau.

“Alhamdulillah dan tahniah kepada Harimau Malaya yang bakal mengaum di final Piala AFF Suzuki 2018. Sama-sama kita banjiri Stadium Nasional Bukit Jalil dengan semangat Negaraku!” katanya.

Disiarkan pada: December 6, 2018 @ 1:09am
d