arena

Khe Wei tinggalkan badminton

Oleh Helmi Talkah

KUALA LUMPUR: Selepas 15 tahun berkhidmat bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), pemain beregu wanita negara, Woon Khe Wei membuat keputusan untuk meninggalkan badan induk itu.

Malah, Khe Wei, 29, yang menghantar surat peletakan jawatanya kepada BAM, semalam mahu terus bersara daripada sukan badminton bagi memulakan kerjaya baharu.

Pemain berasal dari Selangor itu berkata, keputusan berkenaan dibuat susulan masalah kecederaan lutut yang terus menghantuinya dengan dia sendiri tidak pasti bila akan pulih sepenuhnya.

"Ini adalah keputusan paling sukar dalam hidup saya tetapi kecederaan lutut yang berterusan membuatkan saya merasakan ini adalah jalan terbaik (bersara). 

"Sepanjang bergelar pemain kebangsaan, banyak cerita suka duka yang saya lalui. Antara paling manis adalah memenangi emas Sukan Komanwel dan Sukan SEA selain mara sehingga suku akhir Olimpik Rio 2016.

"Namun, apabila terpaksa bersara disebabkan masalah kecederaan pastinya kenangan paling pahit untuk saya. Saya mengidamkan untuk beraksi sekali lagi pada Olimpik tetapi ia sukar dan keputusan ini terpaksa dibuat," kata Khe Wei ketika dihubungi, hari ini.

Khe Wei antara pemain beregu wanita terbaik pernah dilahirkan Malaysia apabila dia dan pasangannya, Vivian Hoo berjaya memenangi emas Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland serta Sukan SEA 2013 di Myanmar.

Kombinasi mereka juga turut melakar beberapa gelaran di peringkat antarabangsa termasuk Masters Indonesia 2011 dan Terbuka New Zealand 2017.

Tanpa Khe Wei yang mengalami kecederaan lutut sejak Mei lalu, Vivian kini berpasangan bersama Yap Cheng Wen dan mereka berjaya muncul juara Terbuka Macau, bulan lalu.

Sebagai pemain senior dalam skuad beregu wanita, Khe Wei percaya Vivian-Cheng Wen memiliki potensi untuk layak ke Olimpik Tokyo 2020 bersama satu lagi pasangan, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang muncul juara Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi di India, minggu lalu.

Sementara itu, Vivian menerusi keterangan gambarnya yang dimuat naik di laman Instragram miliknya mengucapkan selamat maju jaya buat Khe Wei selain menegaskan yang dia masih membawa semangat perjuangan rakannya itu biarpun kini tidak lagi bergandingan.

"Terima kasih untuk semua memori yang kita lalui bersama selama 10 tahun. Bagus untuk kamu melakukan apa yang kamu mahukan tetapi saya masih membawa semangat perjuangan kamu untuk terus melakar kejayaan," kata Vivian yang memuat naik gambarnya bersama Khe Wei ketika meraih kejayaan dalam kejohanan yang disertai.

Ketua jurulatih beregu wanita, Rosman Razak menyifatkan Khe Wei sebagai salah seorang pemain terbaik pernah dilatihnya dan mempunyai semangat juang luar biasa.

"Secara peribadi, kamu salah seorang pemain terbaik saya pernah latih sebelum ini. Terima kasih kerana sentiasa percaya kepada saya sebagai jurulatih kamu dan motivasi kamu untuk kembali bangkit selepas mengalami kecederaan dan memenangi kejohanan adalah luar biasa.

"Semua pemain muda perlu belajar semangat ini daripada kamu," kata Rosman menerusi keterangan gambar yang dimuatnaik di Intagram miliknya.

 

 

 

Disiarkan pada: December 6, 2018 @ 11:56am
d