arena

'Siapa yang letak TCH di situ?'

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, kebangkitan skuad bola sepak negara adalah hasil daripada perancangannya ketika memimpin badan induk itu sebelum ini.

Kejayaan skuad Harimau Malaya mara ke pentas final Piala AFF buat kali keempat selepas menundukkan juara lima kali, Thailand di separuh akhir semalam adalah kemuncak kepada prestasi membanggakan keseluruhan pasukan kebangsaan yang di bawah FAM termasuk skuad bawah 23 (B-23) dan B-19 tahun negara. 

Menerusi kenyataan Tunku Ismail di laman sosial Twitternya, beliau mengucapkan tahniah kepada skuad kendalian Tan Cheng Hoe (TCH) yang beraksi di perlawanan akhir pada 11 dan 15 Disember ini dengan final pertama akan berlangsung di Bukit Jalil terlebih dulu.

"Yarghhh... siapa yang letak TCH di situ, OKS (Datuk Ong Kim Swee) dalam pasukan B-23 dan Bojan Hodak B-19. Semua perancangan berjalan dengan baik. 'Claim' jangan tak 'claim'. Tahniah Malaysia dan FAM. Cinta, TMJ (Tunku Mahkota Johor)," katanya.

Tunku Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) dilantik sebagai Presiden FAM pada 25 Mac 2017 selepas menang tanpa bertanding dan mendapat sokongan semua perwakilan.

Sebaik memulakan tugas, beliau merombak sistem kejurulatihan membabitkan tiga pasukan kebangsaan dengan melantik Bojan Hodak untuk membimbing skuad B-19, Kim Swee skuad B-23 dan memilih Nelo Vingada sebagai pengendali skuad senior sambil Cheng Hoe sebagai penolong jurulatih.

Namun selepas membimbing Malaysia dalam tujuh perlawanan sejak tiba di negara ini pada Mei 2017, Vingada masih belum mencatat sebarang kemenangan dan beliau mengambil keputusan melepaskan jawatan sebelum diserahkan kepada Cheng Hoe pada penghujung tahun lalu.

Selain kejayaan cemerlang anak buah Cheng Hoe dalam kempen Piala AFF kali ini, pasukan kendalian Kim Swee dan Hodak turut menempa sejarah tersendiri apabila muncul antara pencabar terkuat terutamanya di saingan Asia.

Skuad B-23 mengalahkan Korea Selatan buat kali pertama dalam tempoh 44 tahun selepas menang 2-1 pada peringkat Kumpulan E, Sukan Asia, Ogos lalu selain turut layak ke suku akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China, Januari lalu.

Pasukan bimbingan Hodak turt mara secara merit ke pusingan akhir Kejuaraan AFC B-19 serta muncul juara Kejohanan AFF (Persekutuan Bolasepak ASEAN) B-19 di Indonesia selepas mengalahkan Myanmar 4-3 dalam perlawanan akhir.

 

 

Disiarkan pada: December 6, 2018 @ 12:39pm
d