arena

Ranieri tak sabar semuka Mourinho

Oleh Reuters

LONDON: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho dilihat sukar untuk menutup kritikan terhadapnya di Old Trafford namun setidak-tidaknya dia masih mempunyai seorang penyokong tegar daripada rakan sejawatannya yang baharu mengendali Fulham, Claudio Ranieri.

Pengendali dari Itali, Ranieri dijadual membawa pasukannya yang kini berada di tangga tercorot Liga Perdana Inggeris ke United esok dan berkata, dia tidak sabar untuk mengeratkan lagi persahabatan bersama rakan sejawatannya yang pernah mengambil tempatnya di Chelsea pada 2004.

Ranieri yang kembali tampil ke liga teratas Inggeris selepas berpisah dengan Leicester City pada 2017 berkata, Mourinho adalah pengurus pertama mengalu-alukan ketibaannya itu.

"Dia yang pertama menghantar mesej 'selamat kembali'. Dia sangat baik. Dia memberitahu saya 'selamat kembali, semoga berjaya'. Kami bercakap banyak perkara," kata Ranieri.

"Ia mesej pesanan ringkas. Kadangkala kami berbual. Dia seorang yang menarik. Saya mengenalinya sudah lama, ketika dia tiba di Chelsea dan di Itali dan dia amat baik dengan saya. Dia hebat, jurulatih, pengurus dan juga bola sepak adalah sangat penting (baginya)."

Mourinho berdepan detik sukar di Old Trafford dengan The Reds kini berada di tangga kelapan - 18 mata di belakang pendahulu liga, Manchester City dan lapan mata di belakang kelompok empat terbaik.

Ranieri percaya prestasi pasukan lawan kini bertambah baik meskipun berharap dapat menambah duka Mourinho pada minggu ini.

"Saya fikir Manchester United bertambah baik," katanya. "Bagi kami, ia akan menjadi sukar. Kami harus bermain dengan sempurna. Manchester United salah sebuah pasukan terbaik dalam Liga Perdana dan di Liga Juara-Juara juga mereka sudah melakukan tugas dengan baik.

"Kami mahu mendapatkan mata di sana. Kami tahu ia sukar tetapi semuanya tidak mustahil."

Fulham kini mengumpul sembilan mata daripada 15 perlawanan dan Ranieri berkata, satu keputusan yang positif dengan bermula dari perlawanan di Old Trafford mampu mengubah nasib mereka.

"Kami sedang berusaha. Malam semalam, satu mata sesuatu yang lebih baik daripada tiada langsung," kata Ranieri mengulas mengenai perlawanan dengan Leicester, Rabu lalu.

"Namun sekiranya kamu meraih beberapa keputusan (yang baik), keyakinan akan meningkat serta-merta dan saya percaya kami mampu melakukannya dalam masa terdekat ini."

Disiarkan pada: December 7, 2018 @ 7:51am
d