arena

Kejang otot hantui Aguero

Oleh Agensi

MANCHESTER: Pep Guardiola kini dalam dilema dengan tahap kecergasan Sergio Aguero tatkala kemampuan penyerang Manchester City itu pada minggu ini jelas tidak menentu.

Aguero mengalami isu kekejangan otot dan peranannya dilihat begitu penting untuk bertemu Chelsea di Stamford Bridge, esok.

Guardiola pernah dinasihatkan untuk tidak menggunakan khidmat pemain Argentina itu ketika menentang Bournemouth minggu lalu dan dia juga hanya melihat kejayaan pasukan di luar padang ketika rakan seperjuangannya menewaskan Watford, Selasa lalu.

Doktor kelab memberitahu Guardiola yang pemain berusia 30 tahun itu berdepan risiko kecederaan serius sekiranya beraksi pada minggu lalu dan dia berharap tempoh rehat pemainnya itu sudah pun tamat.

Aguero sedar yang dia perlu berehat tetapi masih menaruh harapan untuk dimasukkan ke dalam skuad City nanti.

City bakal mengetahui keputusan lanjut mengenai pemainnya itu hari ini selepas sesi latihan terakhir mereka sebelum menuju ke laman Chelsea yang dikendali Maurizio Sarri.

Gabriel Jesus dikritik selepas beberapa siri kegagalan jaringan di hadapan gol musim ini dan dilihat bakal memikul tanggungjawab di bahagian serangan tidak kira sama ada Aguero mampu melakukannya ataupun tidak.

Guardiola berpuas hati degnan prestasi Jesus pada pertengahan minggu ini meskipun sedar betapa pemain kebangsaan Brazil itu perlu melakukan jaringan.

Sementara itu, Kevin De Bruyne juga berada dalam situasi meragukan selepas dia baru saja kembali daripada kecederaan buku lali buat kali keduanya musim ini.

Disiarkan pada: December 7, 2018 @ 7:55am
d