arena

Amelie tolak tawaran kapten

Oleh Agensi

PARIS: Bekas pemain nombor satu dunia, Amelie Mauresmo memutuskan untuk tidak menjadi kapten baharu bagi Perancis di Piala Dunia, namun memilih untuk bekerjasama dengan pemain negara itu, Lucas Pouille.

Satu kenyataan daripada Persekutuan Tenis Perancis mengesahkan bekas pemain berusia 39 tahun itu yang dinamakan sebagai wanita pertama mengepalai pasukan Piala Davis Jun lalu sudah pun membuat keputusan 'u-turn'.

Amelie dijadual mengambilalih tugas berkenaan daripada Yannick Noah yang sudah tiga kali menjadi kapten sebelum pasukannya tewas di tangan Croatia pada aksi final di stadium bola sepak Lille, bulan lalu.

"(Amelie Mauresmo) menerima cabaran ini dan memutuskan semula posisinya dengan menolak untuk menjadi kapten Piala Davis bagi pasukan Perancis," kata kenyataan itu.

"Persekutuan Tenis Perancis menyokong dan sentiasa memberi galakan terhadap projek ini yang menjadi keutamaan bagi sukan tenis Perancis."

Pengarah Teknikal Kebangsaan FFT, Pierre Cherret berkata, dia akan memulakan proses mencari kapten baharu di Piala Davis yang juga akan memikul tanggungjawab mengemudi pasukan lelaki di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

"Adalah sesuatu yang penting dan logik untuk Lucas selepas melakar kejayaan dengan Emmanuel Planque untuk mencari pengganti terbaik bagi meneruskan peningkatan seterusnya," kata Cherret.

"Sebagai ketua pasukan Perancis, saya akan secepat mungkin merangka perancangan mengenai kapten baharu kepada jawatankuasa."

Amelie yang juga juara dua kali Grand Slam dan pernah melatih bekas nombor satu Britain, Andy Murray, akan memulakan kerjasama bersama Pouille bagi menghadapi musim baharu nanti.

Pemain berusia 24 tahun di ranking 32 dunia itu jelas tidak sabar untuk bekerjasama dengan Amelie dan berterima kasih kepada persekutuan Perancis kerana membenarkan kerjasama itu.

"Saya sangat gembira untuk memulakan kerjasama dengan Amelie dan terima kasih kepada persekutuan Perancis kerana membenarkan saya bekerja dengannya.

"Saya pasti kami akan melakukan sesuatu yang hebat bersama," tulisnya di laman Twitter.

Disiarkan pada: December 7, 2018 @ 10:58am
d