arena

Nushamil optimis lebih lincah

Oleh Nazri Abu Bakar

MELAKA: Penyerang Melaka United (MU), Nurshamil Abd Ghani mahu meningkatkan prestasinya bersama skuad terbabit pada 2019 selepas kurang menyerlah sepanjang saingan musim ini.

Baginya, kehadiran jurulatih berpengalaman yang juga bekas penyerang kebangsaan, Zainal Abidin Hassan mampu menyuntik motivasi tinggi buatnya bagi menampilkan persembahan lebih bertenaga.

Mengakui jarang memperolehi peluang beraksi musim ini, bekas penjaring terbanyak Liga Perdana 2015 itu tekad mengembalikan sentuhan berbisanya.

Malah, dia mengakui bertuah dapat berguru dengan bekas pemain sayap lincah kebangsaan, Nidzam Adha Yusoff yang dilantik sebagai pembantu Zainal.

"Gabungan mereka dilihat amat positif buat barisan depan menimba ilmu berkaitan teknik menghasilkan jaringan, selain pengalaman luas mereka dalam bidang kejurulatihan yang bakal melonjak kecemerlangan pasukan.

"Malah kehadiran penolong jurulatih, Mohd Asri Ninggal dan Mazlan Wahid dilihat ramuan hebat MU kali ini. Justeru tugas kami sebagai pemain harus menterjemah segala perancangan mereka dengan produktif," kata anak jati kampung Paya Rumput, Melaka itu.

Menurutnya, dia yakin skuad Hang Tuah 2019 mampu mencipta kejayaan lebih baik menerusi gabungan muka baharu dan berpengalaman.

Disiarkan pada: December 7, 2018 @ 12:28pm
d