arena

Irfan enggan tersilap lagi

Oleh Farah Azharie

 

KUALA LUMPUR: Pemain pertahanan skuad Harimau Malaya, Muhammad Irfan Zakaria dikritik netizen selepas melakukan beberapa kesilapan pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF di Bangkok, Thailand, pada Rabu lalu.

Irfan, 23, mengakui kritikan yang diterima itu berpunca daripada persembahan kurang menyerlah pada penampilan pertamanya di Piala AFF, di Stadium Rajamangala, namun tetap berharap diberi peluang untuk membuktikan kemampuannya. 

“Saya sangat tidak berpuas hati dengan persembahan saya kerana ia aksi pertama saya. Kini (perlawanan akhir) ia menjadi perlawanan hidup mati pasukan, tetapi saya sedia meningkatkan prestasi. 

“Jika masih diberi peluang, saya akan cuba memberikan yang terbaik,” kata Irfan yang membantu Kuala Lumpur muncul juara Liga Perdana musim lalu. 

Pertahanan tengah itu masuk menggantikan Aidil Zafuan Abd Radzak yang mengalami kecederaan selepas 18 minit beraksi. Irfan melakukan kesilapan apabila tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-21, untuk membolehkan Thailand mendahului 1-0.

“Setiap pemain pasti gementar dan memerlukan masa untuk bertenang, tetapi rakan sepasukan serta jurulatih memberi sokongan walaupun saya melakukan kesilapan dan mereka memberikan saya keyakinan semula. 

“Jurulatih tidak menyalahkan saya atas beberapa kesilapan, saya akan menerima apa saja keputusan dan jika diberikan peluang, saya akan buat yang terbaik,” kata Irfan.

Sementara itu, beberapa pemain Harimau Malaya yang lain juga tidak menyalahkan Irfan, sebaliknya membalas kritikan yang dilemparkan terhadap pertahanan Kuala Lumpur itu.

“Irfan masuk ke padang dan tidak mempunyai masa yang cukup untuk memanaskan badan. Bagi saya, dia melakukan tugas dengan baik dan kita tidak boleh menyalahkan dia sepenuhnya,” kata pemain sayap, Mohamadou Sumareh.

  • Lagi berita Piala AFF
  • Disiarkan pada: December 7, 2018 @ 7:21pm
    d