arena

'Sasar tiga penerbangan khas ke Hanoi'

Oleh BERNAMA

SHAH ALAM: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan tiga penerbangan sewa khas mungkin diaturkan bagi membawa penyokong Harimau Malaya untuk menyaksikan perlawanan akhir kedua, Piala AFF Suzuki 2018 di Hanoi, Vietnam, 15 Disember ini.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya kini sedang berbincang dengan syarikat penerbangan negara supaya lebih ramai peminat tempatan dapat memberi sokongan skuad negara dalam perlawanan berkenaan.

“Semasa perlawanan separuh akhir kedua sebelum ini (di Bangkok, Thailand), pihak AirAsia bersetuju sediakan penerbangan sewa khas dan kali ini, saya nak pastikan perkara sama berulang cuma kita nak tambahkan lebih banyak penerbangan.

“Saya sedang berbincang dengan Malaysia Airlines dan juga AirAsia. Kita mahu suara penyokong Ultras Malaya didengari pada perlawanan akhir kedua itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Bicara Minda anjuran Sinar Harian, di sini hari ini.

Beliau, bagaimanapun berkata, sebarang keputusan mengenai usaha itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Perlawanan akhir yang menggunakan format timbal balik itu akan memulakan aksi dengan skuad negara menerima kunjungan Vietnam pada final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa depan sebelum aksi final kedua di Hanoi.

Disiarkan pada: December 7, 2018 @ 10:44pm
d