arena

'Mourinho gembira di sini...'

Oleh AFP

LONDON: Jose Mourinho “terlalu gembira” di Manchester United sekalipun kelab Liga Perdana Inggeris itu bergelut, menurut ejennya Jorge Mendes semalam.

Kenyataan itu hadir susulan laporan kelab itu menimbang untuk mendapatkan khidmat bos Tottenham, Mauricio Pochettino bagi menggantikan pengendali dari Portugal itu dan laporan lain mengaitkannya kembali ke Real Madrid.

United mengharungi musim sukar - mereka di tangga kelapan Liga Perdana, 18 mata di belakang Manchester City dengan perbezaan negatif satu gol selepas 15 perlawanan.

Hubungan renggang Mourinho dengan bintang tengah Paul Pogba dan pemain lain turut mencetus musim yang menyaksikan mereka terumbang-ambing.

Satu-satunya sinar buat United mereka layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara sekalipun berbaki satu perlawanan.

“Ada khabar angin Jose Mourinho akan meninggalkan Manchester United,” kata Mendes.

“Ia jelas tidak benar. Jose amat gembira di kelab ini dan kelab juga terlalu gembira dengannya. Beliau mempunyai kontrak jangka panjang bersama Manchester United dan komited untuk membina skuad mantap yang boleh memenangi kejuaraan.”

Mourinho, 55, menandatangani sambungan kontrak Januari lalu yang menyaksikannya kekal di Old Trafford hingga sekurang-kurangnya 2020.

Bekas bos Chelsea itu menggantikan Louis van Gaal pada 2016 dengan hasrat kembali menguasai kancah bola sepak liga Inggeris.

Juara liga 20 kali itu tidak memenangi Liga Perdana sejak musim terakhir kendalian Alex Ferguson pada 2012-13.

Disiarkan pada: December 8, 2018 @ 1:26pm
d