arena

Melaka United gah tumbangkan juara 11 kali

Oleh Nazri Abu Bakar

MELAKA: Skuad bola sepak wanita Melaka United (MU) mencatat sejarah apabila mara ke pentas akhir Kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah apabila menewaskan juara 11 kali, Sabah di separuh akhir, hari ini.

Perlawanan di Stadium Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya itu berkesudahan dengan keputusan 2-2 selepas tamat masa sebenar perlawanan serta tambahan masa 30 minit.

Namun, skuad bimbingan jurulatih, Fauzi Kasim itu menang 2-1, menerusi penentuan sepakan penalti sekali gus menyingkirkan pasukan pilihan, Sabah dan dijadualkan menentang Kedah di pentas akhir, esok.

Pengurus MU, Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah, berkata keazaman tinggi anak buahnya untuk melangkah ke perlawanan akhir berjaya walaupun terpaksa menempuh pertarungan sengit dan mendebarkan.

Beliau mengakui, sememangnya sukar untuk berdepan skuad juara 11 kali itu terutama berdasarkan pengalaman serta reputasi hebat pasukan yang dibarisan ramai pemain berbakat.

"Saingan berdepan Kedah di pentas final juga amat sukar dan berliku. Namun kecemerlangan pemain mengecewakan wakil Borneo yang sememangnya digeruni itu menjadi azimat berharga buat kami untuk mengintai kejuaraan.

"Fokus pemain kini terarah kepada perlawanan akhir berdepan Kedah di Stadium Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

“Sudah pasti ia kesempatan terbaik buat pasukan untuk berusaha meneruskan kecemerlangan yang dicipta ketika berdepan skuad Sang Badak," katanya yang mengharapkan penyokong Melaka United hadir memberi sokongan kepada mereka.

Pada masa sama, Maisarah mengakui Kedah memiliki barisan seimbang yang boleh meranapkan impian MU memburu gelaran sulung dan pemainnya harus fokus pada setiap detik perlawanan bagi mengelak kesilapan.

Disiarkan pada: December 8, 2018 @ 7:51pm
d