arena

Azizi sapu dua sekali...

Oleh Fabian Peter

KUALA LUMPUR: Wakil negara, Muhammad Azizi Naim mengikut jejak langkah mentornya dan bekas pemain bowling kebangsaan, Kang Bo Long apabila menyambar Kejuaraan Antarabangsa bawah-22 tahun (B-22) Milo Junior All-Star, hari ini.

Atlet pilihan utama berusia 22 tahun itu yang menjalani latihan di bawah bimbingan Bo Long sejak empat tahun lalu, menewaskan atlet remaja negara, Nevern Netaneel 225-222 dalam final stepladder di Sunway Mega Lanes.

Azizi mengakui dia cukup gembira apabila menyambar gelaran antarabangsa keduanya tahun ini, selepas memenangi kejohanan terbuka remaja di Jaya Ancol Singles Classic pada Mei lalu.

"Ini adalah kemenangan terbesar sepanjang karier dan saya amat gembira kerana mengharungi kempen yang hebat tahun ini," katanya yang juga pemenang pingat perak (acara beregu) dan gangsa (Masters) dalam Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak, September lalu.

"Bo Long dan saya amat rapat dan kami sudah bekerjasama selama empat tahun. Beliau merancangkan semuanya buat saya.

"Untuk final kali ini, beliau turut menaja saya,” tambah Azizi yang sebelum itu mengungguli permainan 10 set dengan jatuhan 2,249 pin.

Tun Hakim Tun Hasnul Azam yang baharu ditabal juara beregu dunia baru-baru ini pula berpuas hati di tempat ketiga.

Azizi membawa pulang hadiah kemenangan RM25,000, diikuti Nevern (RM15,000) dan Tun Hakim (RM8,000).

Bercakap mengenai perancangan masa depannya, atlet bowling Selangor itu berkata: "Saya mahu merasa bagaimana perasaan mewakili negara, tetapi saya hanya dinafikan satu posisi dalam kejohanan tahun lalu,"

Sementara itu, wakil Singapura, Charmaine Chang mengungguli cabaran bagi kategori wanita apabila mengetepikan Nur Hazirah Ramli dari Sarawak dengan perbezaan jatuhan pin 255-211 dalam aksi final.

 

 

Disiarkan pada: December 8, 2018 @ 10:08pm
d