arena

Chelsea lebur kekebalan City

Oleh AFP

LONDON: Chelsea mencetus kekalahan pertama pasukan juara Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris musim ini dengan kemenangan 2-0 di Stamford Bridge sekali gus membolehkan Liverpool menghuni tangga teratas, awal pagi tadi.

N’Golo Kante dan David Luiz meledak gol buat anak buah Maurizio Sarri ketika City kecewa apabila gagal menggunakan kelebihan penguasaan penuh babak pertama.

“Saya amat gembira dengan kemenangan ini kerana tidak mudah untuk menang ke atas Manchester City atau Pep Guardiola,” kata bos Chelsea, Sarri.

Liverpool kini mendahului City dengan satu mata selepas hatrik Mohamed Salah membantu kemenangan mengagumkan 4-0 di Bournemouth, malam tadi.

City kelihatan sukar digugat akhir-akhir ini, menang tujuh aksi terakhir Liga Perdana dan bermula dengan rentak sama.

Bagaimanapun, anak buah Guardiola terlepas khidmat penyerang yang cedera Sergio Aguero manakala Raheem Sterling dan Leroy Sane mensia-siakan peluang awal.

Chelsea jarang kelihatan dalam kawasan City namun mendahului sejurus sebelum rehat apabila Eden Hazard mengumpan leret kepada Kante yang merembat kencang menerjah gawang.

Bagaimanapun, tuan rumah lebih menguasai babak kedua dan memastikan kemenangan besar 12 minit sebelum tamat apabila tandukan lambung Luiz susulan sepakan sudut Hazard mengecewakan penjaga gol Ederson.

“Sukar buat kami untuk mencari motivasi tapi apabila kami bermotivasi, kami satu pasukan yang amat kuat,” ujar Sarri.

“Hari ini kami bermain dengan tahap yang amat bagus, keazaman dan corak agresif yang baik.”

Disiarkan pada: December 9, 2018 @ 8:01am
d