arena

Sprus tetap berbisa tanpa Kane

Oleh Reuters

LEICESTER, England: Tottenham Hotspur kembali menghuni tangga ketiga Liga Perdana Inggeris selepas menang 2-0 ke atas Leicester City di Stadium King Power, awal pagi tadi.

Selepas Chelsea dan Arsenal mengatasi mereka hasil kemenangan pada perlawanan terdahulu, Tottenham sedar sekiranya gagal mengutip tiga mata mereka akan menamatkan saingan minggu ini di luar kelompok empat teratas.

Dengan pertembungan penting di Barcelona dalam aksi Liga Juara-Juara menanti Selasa ini, pengendali Spurs, Mauricio Pochettino memulakan permainan dengan Harry Kane dan Christian Eriksen di bangku simpanan, tetapi Son Heung Min memastikan ketiadaan dua tonggak itu tidak dirasai dengan membuka tirai jaringan sejurus sebelum rehat.

Leicester yang bergelut mencari gol penyamaan, terus dihukum apabila Dele Alli menambah jaringan pada minit ke-58, menanduk hantaran silang Heung Min melepasi Kasper Schmeichel untuk gol ke-50 peribadinya bersama Tottenham.

Kemenangan kelima Tottenham dalam enam perlawanan liga dan kelapan di tempat lawan, meletakkan mereka hanya enam mata di belakang pendahulu Liverpool dan lima di belakang juara bertahan Manchester City. Spurs mengumpul 36 mata manakala Chelsea dan Arsenal 34 mata.

“Saya gembira dengan persembahan ini,” kata Pochettino. “Ia membolehkan kami memberi tumpuan kepada Barcelona. Tiga mata ini sangat penting dan ia mengukuhkan kedudukan kami dalam liga.”

Kemenangan itu juga menyaksikan Spurs melakukan permulaan musim Liga Perdana terbaik mereka.

Selasa ini, mereka perlu menang di Barcelona bagi memastikan tempat ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Disiarkan pada: December 9, 2018 @ 8:18am
d