arena

Semangat penyokong jadi inspirasi - Yusoff

Oleh Aziman Rosdi

KUALA LUMPUR: Pengurus Harimau Malaya, Datuk Wira Yusoff Mahadi berharap skuad kendalian Tan Cheng Hoe tidak mensia-siakan pengorbanan penyokong yang bersungguh-sungguh mendapatkan tiket final Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) Selasa ini.

Semua 80,000 tiket perlawanan final pertama Malaysia dengan Vietnam habis terjual dengan kemuncaknya ribuan penyokong berasak-asak untuk mendapatkan tiket di kaunter SNBJ hari ini.

Ada yang sanggup tidur di perkarangan stadium sejak malam tadi kerana bimbang gagal mendapatkan tiket.

Menurut Yusoff, keghairahan penyokong itu perlu dijadikan pencetus semangat kepada pemain memburu gelaran selepas muncul juara 2010.

“Kami berterima kasih kepada penyokong yang berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk memberi sokongan kepada pasukan negara. Tapi kita juga simpati kepada penyokong yang tidak dapat membeli tiket, ini di luar kawalan kita, kerana jumlah tiket terhad kepada kapasiti stadium.

“Apa pun semangat penyokong ini bakal menjadi inspirasi dan pembakar semangat buat pemain pada final nanti. Pemain perlu berusaha untuk memenuhi impian rakyat Malaysia yang dahagakan kejayaan.

“Berikanlah sesuatu kepada penyokong,” katanya yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Yusoff berkata, pemain perlu kekal fokus dan tidak memikirkan hal lain termasuk menghadkan penggunaan media sosial seperti yang ditekankan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini.

“Saya dapati, kesungguhan dan semangat pemain cukup tinggi ketika ini. Persaingan untuk merebut tempat dalam skuad utama juga sengit. Kita mahu semua pemain kekal fokus dengan tugas penting Selasa ini.

“Kemenangan cukup penting sebelum kita bertandang ke Hanoi bagi final kedua pada Sabtu,” katanya.

  • Lagi berita Piala AFF
  • Disiarkan pada: December 9, 2018 @ 6:09pm
    d