arena

Shahiran mahu melangkah lebih tinggi

Oleh Izzali Ismail

PEMAIN muda Kedah Shahiran Syakir Sobri, 19, membuktikan kemampuan apabila muncul juara keseluruhan Kejohanan BDB Masters & Charity Golf 2018 di Darulaman Golf & Country Club (DGCC), Jitra, hari ini.

Shahiran merekodkan 222 pukulan keseluruhan untuk membawa pulang hadiah utama bernilai RM2,500 berserta trofi dan piala pusingan sekali gus bergelar juara keseluruhan.

Tempat kedua dan ketiga milik Zia Iwmal Abdul Rashid (224 pukulan) dan Faridzuan Che Hamid (227 pukulan) dengan masing-masing membawa pulang hadiah bernilai RM2,000 dan RM1,800.

Menurut Shahiran, dia sangat bersyukur apabila impiannya bergelar juara tercapai walaupun kejohanan yang berlangsung sejak Jumaat lalu turut disertai ramai pemain lebih berpengalaman.

“Saya bersyukur, teruja dan berdebar sepanjang kejohanan ini kerana ramai peserta yang mampu menyaingi kedudukan saya. Mereka hebat dan berpengalaman terutama pada hari kedua, namun apabila tamat perlawanan ini, saya cukup lega,” katanya.

Selepas meraih kejayaan yang tidak diduga itu, Shahiran kini mula menanam cita-cita untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi termasuk kejohanan profesional, mulai tahun depan.

Di majlis sama, Bina Darulaman Berhad (BDB) turut menyampaikan sumbangan RM25,000 kepada lima pertubuhan kebajikan - Maahad Tahfiz Ehsan Al-Khairi; Wanita Perkim cawangan Alor Setar; Pertubuhan Wanita Prihatin Kubang Pasu; Buddhist Tzu Chi Merits Society Malaysia (Jitra) dan Pusat Jagaan Kesayanganku Jitra.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan BDB Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli berkata, sumbangan itu adalah hasil kutipan perlawanan amal berkenaan yang berjaya menarik lebih 150 penyertaan, dengan menawarkan hadiah keseluruhan RM30,000.

“Kita bersyukur usaha Kumpulan BDB mengumpul dana menerusi penganjuran kejohanan golf tahunan ini mendapat kerjasama baik pelbagai pihak, sekali gus dapat membantu mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.

Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Ir Zambri Yusuf; Pengerusi Kumpulan BDB Datuk Rasli Basir dan Pengerusi BDB Darulaman Golf Resort Berhad (BDB DGRB), Datuk Tunku Aziz Bendahara Tunku Nong.

Disiarkan pada: December 9, 2018 @ 8:36pm
d