arena

Bale akhiri kemarau 802 minit

Oleh AFP

MADRID: Gareth Bale menamatkan kemarau jaringan sepanjang 802 minit aksi La Liga Sepanyol ketika membantu Real Madrid menewaskan kelab bawahan Huesca 1-0 awal pagi tadi sekali gus kembali merapatkan jurang kepada lima mata dengan pendahulu, Barcelona.

Bintang Wales itu meledak gol liga pertamanya sejak September lalu bagi mencetus kemenangan keempat Real dalam lima perlawanan dan melonjak juara Eropah itu ke tangga keempat.

“Dia (Bale) dan rakan sepasukan semuanya menakjubkan. Dia menjaringkan gol hebat dan ia cukup untuk memastikan kemenangan,” kata pengendali Real, Santiago Solari.

“Ia bukan perlawanan yang akan dikenang, tapi jika anda ingin memenangi La Liga, anda perlu menang perlawanan sebegini.”

Bale mengakhiri kemarau tanpa gol paling lama dalam liga sejak menyertai Real selepas menyudahkan hantaran Alvaro Odriozola pada minit kelapan.

Dia hampir menambah jaringan pada minit ke-25 namun rembatannya sempat ditepis keluar oleh penjaga gol Aleksandar Jovanovic.

Pada perlawanan lain, Borja Mayoral menyelamatkan satu mata buat Levante menerusi gol penyamaan pada masa kecederaan untuk mengikat Eibar 4-4.

Real Valladolid menang buat kali pertama dalam enam perlawanan selepas Toni Suarez dan Antonito meledak gol ketika menang 2-1 di Real Sociedad.

Disiarkan pada: December 10, 2018 @ 7:57am
d