arena

The Reds mahu aura Salah

Oleh AFP

LIVERPOOL, England: Liverpool sekali lagi perlu mengharapkan tuah Anfield untuk mencetus kekalahan pertama Liga Juara-Juara buat Napoli musim ini sekiranya mereka mahu mengelak daripada tersingkir di peringkat kumpulan, hanya enam bulan selepas tampil pada final musim lalu.

Juara Eropah lima kali kendalian Juergen Klopp itu perlu menang dengan jurang dua gol sekiranya dibolosi berdasarkan kemenangan 1-0 Napoli pada pertemuan pertama antara mereka September lalu.

Namun situasi itu bukan perkara baharu buat Liverpool yang mana sifir sama pernah dihadapi ketika mereka melayan kunjungan Olympiakos pada perlawanan terakhir kumpulan Liga Juara-Juara musim 2004-05.

Sepakan percuma legenda Brazil, Rivaldo memaksa Liverpool mencari tiga gol untuk layak dan ia disempurnakan dengan rembatan Steven Gerrard empat minit sebelum tamat bagi kemenangan 3-1. Liverpool kemudian terus mara hingga meraih gelaran Liga Juara-Juara terakhir mereka.

Kini tumpuan terarah kepada Mohamed Salah untuk memacu kejayaan Liverpool di pentas Eropah musim ini. Salah meledak 44 gol pada musim pertamanya di Anfield dan menjaringkan hatrik ketika menang besar 4-0 ke atas Bournemouth, Sabtu lalu.

Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane masing-masing menjaringkan 10 gol Liga Juara-Juara dalam laluan ke final musim lalu.

Hatrik Sabtu lalu melebarkan jaringannya musim ini kepada 12 gol tetapi pemain Mesir itu hanya menjaringkan dua gol Liga Juara-Juara musim ini ketika menang 4-0 ke atas Red Star Belgrade, Oktober lalu.

“Apa saja yang anda lakukan dalam bola sepak, anda memerlukan seseorang untuk menyudahkannya,” kata Klopp.

“Apa yang Mo lakukan pada babak kedua cukup luar biasa. Saya tidak kenal ramai pemain yang boleh menjaringkan dua gol sebegini.”

Disiarkan pada: December 10, 2018 @ 1:48pm
d