arena

Spurs perlu lepasi Barca

Oleh AFP

LONDON: Tottenham berada di zon selesa dalam saingan Liga Perdana Inggeris tetapi berdepan aksi penentuan menentang Barcelona dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi Rabu ini.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino mengumpul 36 mata daripada 16 perlawanan Liga Perdana, dengan 12 kemenangan meletakkan mereka di tangga ketiga di belakang pendahulu Liverpool dan Manchester City.

Itu semua dicapai dengan beraksi di laman sementara di Wembley dan selepas Piala Dunia yang mana kebanyakan pemain mereka beraksi hingga ke minggu terakhir.

Bagaimanapun dengan City dan Liverpool berada pada prestasi terbaik, sukar untuk meletakkan Spurs sebagai pencabar utama kejuaraan Liga Perdana, menjadikan pertemuan dengan pendahulu Liga Sepanyol dalam aksi Kumpulan B Liga Juara-Juara sebagai agenda utama kelab Inggeris itu.

Pochettino perlu mencari jalan melepasi Barca yang diterajui Lionel Messi untuk mara ke pusingan kalah mati, namun beliau tetap positif mengenai peluang pasukannya dalam kunjungan ke Nou Camp berdepan juara Eropah lima kali itu.

“Ia perlawanan yang amat besar. Mereka sudah layak ke peringkat seterusnya tapi dalam Liga Juara-Juara tiada sesiapa akan memberikan anda hadiah,” kata pengendali dari Argentina itu, yang merehatkan Harry Kane ketika menang 2-0 ke atas Leicester, Sabtu lalu.

“Kami perlu menang dan berhak untuk menang. Kami turun dengan mentaliti akan beraksi 200 peratus untuk memburu kemenangan. Kami hadir pada prestasi terbaik, Barcelona antara pasukan terbaik di Eropah.”

Spurs hanya mengumpul satu mata daripada tiga perlawanan pertama peringkat kumpulan, tewas kepada Inter Milan dan Barcelona serta seri dengan PSV.

Namun mereka bangkit menewaskan PSV di laman sendiri dan kemudian jaringan lewat permainan Christian Eriksen menghadiahkan kemenangan 1-0 ke atas Inter di Wembley, sekali gus meletakkan mereka di tangga kedua dengan tujuh mata.

Dengan Barcelona sudah layak, Spurs perlu sekurang-kurangnya menyamai keputusan Inter bertemu PSV untuk layak ke pusingan seterusnya.

Disiarkan pada: December 10, 2018 @ 2:06pm
d