arena

Usah ulang duka lama: Trong Hoang  

Oleh Firdaus Hashim

 

KUALA LUMPUR: Tonggak berpengalaman Vietnam, Nguyen Trong Hoang enggan 'memori lama' berulang apabila bertemu Malaysia pada perlawanan akhir pertama Piala AFF 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Katanya, mimpi ngeri ketika tewas 1-0 kepada Malaysia pada final Sukan SEA 2009 di Laos cukup mengecewakan terutamanya selepas mereka berjaya menumbangkan Malaysia di peringkat kumpulan sebelum itu.

"Keadaan sekarang sama macam Sukan SEA di Laos dulu. Ketika itu kami adalah pasukan pilihan untuk memenangi pingat emas apatah lagi rekod di peringkat kumpulan memihak kami.

"Tapi bila memasuki perlawanan akhir, kami tewas tipis dan itu cukup mengecewakan. Senario sama nampaknya berlaku lagi di AFF kali ini, apabila kami berjaya menewaskan Malaysia dalam kumpulan sebelum ini.

"Jadi saya harap pada perlawanan akhir nanti, ia tidak berulang lagi dan kami mahukan kemenangan untuk menjulang piala ini," katanya pada sidang media pra-perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Skuad Naga Emas kini berada dalam prestasi terbaik untuk menamatkan kemarau kejuaraan selepas kali terakhir menjulangnya pada 2008. 

Malah, berdasarkan rekod dalam dua pertemuan terakhir Piala AFF, Vietnam berjaya menundukkan Malaysia pada aksi peringkat kumpulan – menang 1-0 pada 2016 dan 2-0 pada edisi kali ini.

Namun, jika melihat kepada rekod pertemuan dalam aksi timbal balik, ia jelas menjadi milik Harimau Malaya apabila dua kali menyingkirkan Naga Emas di separuh akhir pada 2010 dan 2014.

"Saya sudah ingatkan pemain supaya tidak berlalu yakin walaupun perlawanan peringkat kumpulan memihak kepada kami. 

"Saya pesan kepada mereka supaya ambil cerita pasukan Sukan SEA 2009 sebagai iktibar kerana aksi final ternyata berbeza sama sekali," katanya.

Disiarkan pada: December 10, 2018 @ 8:00pm
d