arena

Klopp bagi Mane lampu hijau

Oleh Reuters

LONDON: Jurgen Klopp mengesahkan Sadio Mane bersedia untuk diturunkan dalam perlawanan wajib menang menentang Napoli bagi kempen Liga Juara-Juara awal pagi Rabu ini sambil mengharapkan aura penyokong tuan rumah bakal menyemarakkan semangat mereka.

Penyerang Senegal itu kembali pulih daripada kecederaan kaki yang dialami ketika menentang Everton dan dimasukkan sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua sewaktu Reds mengalahkan Bournemouth 4-0 untuk melonjak ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.

"Sadio boleh menahan kesakitan itu seperti yang ditunjukkan ketika berdepan Bournemouth, ia satu berita yang bagus," kata pengurus Liverpool itu dalam sidang media hari ini.

"Kami masih memiliki dua lagi sesi latihan, kami akan mengadakan latihan pada sebelah pagi esok juga. Tidak ada masalah yang serius dalam pasukan selepas perlawanan dengan Bournemouth."

Liverpool kini menduduki tangga ketiga dalam Kumpulan C dengan enam mata, ketinggalan tiga mata di belakang Napoli dan dua mata di belakang Paris St Germain yang mengalahkan mereka dua minggu lalu.

Mereka memerlukan kemenangan 1-0, dua gol atau lebih untuk menyingkirkan Napoli menerusi kelebihan rekod pertemuan.

Tekanan pasti memuncak di Anfield di mana Liverpool memerlukan penamat yang indah seperti 2004 apabila mereka menewaskan kelab dari Greece, Olympiakos dengan kelebihan dua gol menerusi jaringan padu Steven Gerrard di lewat permainan pada aksi terakhir kumpulan untuk melangkah ke pusingan seterusnya.

"Sekarang kami ada peluang untuk mara dan ia sangat istimewa selepas kempen yang kami harungi setakat ini," jelas Klopp yang menyaksikan anak buahnya kalah dalam kesemua tiga perlawanan di tempat lawan.

"Sekarang kami perlu mencipta suasana istimewa dengan cara kami bermain dan kami akan gunakan peluang dengan sebaik mungkin.

 

 

Disiarkan pada: December 11, 2018 @ 12:50am
d