arena

Barca tangguh beraksi di AS

Oleh AFP

BARCELONA: Barcelona menarik balik hasrat untuk mengharungi aksi La Liga buat kali pertama di Amerika Syarikat (AS), sehingga semua pihak bersetuju dengan idea berkenaan.

Kelab Catalan itu bersedia berdepan Girona pada 29 Januari di Miami, AS namun Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF), Persatuan Pemain Profesional Sepanyol serta Presiden FIFA, Gianni Infantino mula menyuarakan kebimbangan mereka.

"Lembaga Pengarah FC Barcelona bersetuju untuk menarik balik perancangan menentang Girona FC di Miami, selepas kekurangan sokongan terhadap perkara itu," menurut kenyataan di laman web mereka.

"Barcelona akan bersedia untuk turun dalam perlawanan La Liga di Miami dan bersetuju pendapatan yang bakal diraih dikongsi semua pasukan di Divisyen Primera dan Segunda," tambahnya.

Kedua-dua kelab sudah menandatangani permohonan rasmi kepada pihak liga untuk diketengahkan kepada RFEF, bagi membolehkan perlawanan berlangsung di Stadium Hard Rock.

Jika cadangan itu menjadi kenyataan, ia akan menjadi perlawanan sulung atau perintis daripada perancangan 15 tahun dalam usaha membuka ruang untuk lebih banyak perlawanan liga Sepanyol dimainkan di AS.

Disiarkan pada: December 11, 2018 @ 9:11am
d