arena

'Sampai bila nak main La Liga...'

Oleh AFP

MILAN: Cristiano Ronaldo menggesa seteru lamanya, Lionel Messi untuk menjadi sepertinya dengan mencabar diri sendiri ke tahap tertinggi beraksi di luar liga Sepanyol.

"Suatu hari nanti saya berharap dia dapat ke Itali. Saya berharap dia menerima cabaran seperti saya, namun jika dia gembira di sana, saya menghormatinya," kata Ronaldo.

Dua penyerang berkenaan menjadi seteru dengan mereka meraih lima gelaran Ballon d'or, sebelum dominasi dipecahkan Luka Modric minggu lalu.

Ditanya sama ada dia merindui pemain Argentina berusia 31 tahun itu, yang menghabiskan karier senior di Barcelona, Ronaldo menjawab: :Tidak, mungkin dia yang merindui saya...

"Saya sudah beraksi di England, Sepanyol, Itali, Portugal dan skuad negara namun dia masih di Sepanyol.

"Mungkin dia lebih memerlukan saya...Bagi saya, hidup adalah satu cabaran, saya menggemarinya dan mahu menjadikan orang gembira.

"Dia pemain yang hebat dan baik namun tiada apa yang saya rindui di sana. Ini adalah hidup baru saya dan gembira dengannya.

"Saya meninggalkan zon selesa dan menyahut cabaran di Turin, semua berjalan lancar dengan saya sudah membuktikan masih pemain yang luar biasa," kata Ronaldo.

Ronaldo menyertai Juventus dengan €100 juta (RM475 juta) musim panas lalu dengan gergasi Turin mahu menjulang Liga Juara-Juara selepas sekadar dua kali muncul naib juara dalam empat musim lalu.

Ronaldo sudah meledak 11 gol musim ini, menjadikan jumlah keseluruhan 584 gol.

Disiarkan pada: December 11, 2018 @ 10:08am
d