arena

'Saya yakin Harimau Malaya juara...' [METROTV]

KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin muncul antara jutaan peminat yang memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya menjelang pertembungan akhir Piala AFF berdepan Vietnam, malam ini.

Melalui rakaman video berdurasi 28 saat itu, Siti menyanyikan lagu popular penyokong tegar skuad negara, Ultras Malaya berjudul Ekor Harimau Sejati khas buat skuad bimbingan Tan Cheng Hoe.

“Harimau Malaya, kami selalu ada walau di mana berada. Kami di sini, terus menjadi ekor harimau sejati.

“Buat pasukan Harimau Malaya, kami rakyat Malaysia, saya sendiri akan berdoa semoga Harimau Malaya menjadi juara. InshaAllah, yakin dan berusaha, kita pasti juara,” kata Siti.

Rakaman video itu dimuat naik melalui laman media sosial Instagram Siti Nurhaliza, CTDK.

Skuad kebangsaan akan berdepan Vietnam pada perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini sebelum bertandang ke Hanoi untuk aksi pusingan kedua pada 15 Disember ini.

Harimau Malaya, juara edisi 2010 melangkah ke pentas akhir Piala AFF buat kali keempat selepas mengenepikan Thailandi pusingan separuh akhir, menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan selepas terikat 2-2 di Bangkok.

Vietnam pula membenam cabaran Filipina dalam satu lagi pertarungan separuh akhir. Untuk rekod Vietnam pernah menang 2-0 ke atas Malaysia dalam saingan peringkat kumpulan di Hanoi.

Disiarkan pada: December 11, 2018 @ 1:04pm
d